Home Nasional KKM kenalpasti 3 kluster baharu Covid-19 di Sabah dan KL

KKM kenalpasti 3 kluster baharu Covid-19 di Sabah dan KL

Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR- Perkembangan kes jangkitan Covid-19 di dalam negara menyaksikan pertambahan tiga kluster baharu iaitu dua di Sabah dan satu di Kuala Lumpur hari ini berbanding enam kluster sedia ada.

Ketua Pengarah Kesihatannya, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ketiga-tiga kluster baharu ialah Kluster Buang Sayang, Kluster Kampung Sakong dan Kluster Setapak.

Menurut beliau, Kluster Buang Sayang dikenalpasti di Sipitang, Sabah dan kes indeks kluster itu merupakan kes ke-10,265 yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sipitang, Sabah dari 7 September sehingga 20 September lalu.

“Kes mula mengalami gejala demam, selesema dan sakit tekak pada 19 September lalu dan kemudiannya dimasukkan ke sebuah pusat perubatan sebelum keputusan ujian saringan didapati positif Covid-19 pada 20 September 2020 dan kemudian segera dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth, Sabah.

“Susulan itu, pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat telah dijalankan.

“Sehingga 27 September jam 12 tengah hari ini, seramai 10 individu telah disaring dan empat daripadanya dikesan positif Covid-19 sementara enam lagi individu masih menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Noor Hisham, Kluster Kampung Sakong dikenal pasti di Semporna, Sabah dan kes indeks kluster itu merupakan kes ke-10,154.

Ujar Noor Hisham, kes berkenaan dikesan positif Covid-19 pada 18 September lalu melalui saringan komuniti.

Menurutnya, kes berkenaan tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Tawau untuk rawatan dan susulan itu pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat telah dijalankan.

Hasilnya, sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 66 individu telah disaring dan sembilan daripadanya dikesan positif dan 57 individu masih menunggu keputusan ujian saringan.

“Kluster ketiga iaitu Kluster Setapak telah dikenal pasti di Setapak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu kes indeks kluster ini merupakan kes ke-10,689.

“Kes kluster Setapak ini mempunyai sejarah perjalanan ke Tawau dan Semporna, Sabah dari 17 September hingga sehingga 20 September lalu sebelum kes mula mengalami gejala demam, batuk, sakit tekak, sakit otot dan cirit-birit sejak 21 September lalu,” tegasnya.

Menurut beliau, kes kemudian dimasukkan ke sebuah pusat perubatan pada 25 September lalu dan ujian saringan mengesahkan positif pada hari yang sama.

“Kes seterusnya dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor dan dua lagi kes positif yang dikesan adalah rakan serumah (iaitu kes ke-10,770) dan rakan (iaitu kes ke-10,771) kepada kes indeks yang mana mereka juga dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Susulan itu, pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat telah dijalankan dan sehingga jam 12 tengah hari ini, seramai 20 individu telah disaring, tiga positif dan 16 individu dikesan negatif sementara seorang lagi individu masih menunggu keputusan.

“Langkah pencegahan dan kawalan penularan jangkitan seperti proses nyah kuman dan pembersihan sedang dijalankan di semua lokasi yang telah dikenal pasti bagi semua kluster,” tegas beliau.-MalaysiaGazette