Home Pendapat  Surat terbuka daripada anak muda Sabah

 Surat terbuka daripada anak muda Sabah

Gambar hiasan

SAYA percaya Parti Warisan Sabah “Bermaruah” seperti yang dikatakan oleh penyokong mereka selama ini. #WarisanBermaruah

Secara peribadi saya tiada masalah dengan Parti Warisan Sabah, jika mereka diberi mandat oleh rakyat dan menang.

Apa yang penting adalah kita menghormati keputusan pengundi yang telah menunaikan tanggungjawab mereka pada 26 September 2020.

Dalam tempoh berkempen selama dua minggu lalu, kita lihat bahawa Parti Warisan Sabah memainkan propaganda dan provokasi mengenai “KATAK“,  “LOMPAT” , “KATAK KITA JADIKAN PUSAS” dan sebagainya.

Saya sebagai rakyat Sabah dan pengundi muda memerhati anda sebagai sebuah parti yang berjuang berkaitan hak-hak Sabah dan itu merupakan satu kelebihan kepada anda.

Saya sebagai pengundi muda, melihat, menilai dan masih segar dalam ingatan sewaktu pembubaran DUN Sabah, Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Bin Hj Apdal juga merupakan pemimpin yang saya hormati dan tidak dapat di nafikan sumbangannya pada Daerah Semporna yang juga merupakan kampung halaman saya yang tercinta.

Beliau berkata:

“Kita serahkan balik mandat kepada rakyat untuk menentukan siapa yang layak membentuk kerajaan negeri yang baharu. Saya yakin rakyat akan membuat keputusan yang bijak.

“Berikutan itu, cerita pasal apa saja angka dan nombor, angkat sana, angkat ini, DUN sudah TERBUBAR,”

Di atas merupakan kenyataan beliau pada 30 Julai 2020 lalu.

Pada 26 September 2020 suara keramat rakyat sudah terjawab, apa lagi yang perlu dijelaskan, dibincangkan? Ditangguhkan?

Saya sebagai anak muda Sabah sangat menjungjung tinggi prinsip-prinsip demokrasi yang ada dalam negara kita.

Saya sebagai pengundi muda sudah muak dengan sikap pemain politik yang ada dalam negara kita yang tidak habis bercakaran untuk merebut kuasa yang menyebabkan ketidakstabilan politik dan sekaligus menjejaskan ekonomi rakyat biasa seperti saya.

Sudah-sudahlah wahai pemimpin politik yang saya hormati

Rakyat sudah diberi mandat untuk memilih dan sudah melakukan tanggungjawab mereka apa lagi yang kalian mahukan?

Ya Allah Ya Tuhanku Permudahkan, Rahmatilah, Segala Yang Berlaku dalam negara Malaysia yang saya sayangi. Hentikanlah pergolakan politik yang tidak putus semenjak PRU14 lalu. Selamatkanlah dan jauhkanlah kami dari perkara yang tidak baik. Aamiin

Ini bukan soal bangsa, bukan soal saya orang Semporna, bukan soal saya tidak berpihak kepada parti tempatan, bukan soal saya tidak berpihak kepada orang Semporna sendiri.

Tapi ini adalah SUARA KERAMAT RAKYAT SABAH.

Oleh itu, saya dengan rendah hati momohon kepada TYT Sabah Tun Juhar Mahiruddin untuk mempercepatkan lantikan Ketua Menteri Sabah yang baharu, agar masalah dan ketidakstabilan  politik di negeri Sabah dan wabak penyakit COVID-19 yang semakin hari semakin buruk dapat dibendung dengan secepat yang mungkin

Aby Al Fahd AS
Ahli Parlimen Belia Malaysia