PUTRAJAYA – Negara bakal berdepan selsema Influenza A (H1N1) dan virus genetik mutasi Covid-19 tahap kebolehjangkitan lebih tinggi menjelang musim sejuk di hemispera utara.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia bukan jangkaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kesatuan Eropah (EU) turut mengunjurkan perkara yang sama.
“Kebiasannya pada musim sejuk kita akan mengalami sakit selsema biasa tapi kali ini kita akan berdepan Covid-19 juga, jadi ada dua jangkitan yang dikhuatiri akan memberi impak tinggi kepada pesakit.
“Genetik virus bermutasi ini kebolehjangkitannya lebih tinggi dikesan di Kedah, Johor dan sekarang di Sabah menggantikan mutasi terdahulu.
“Jika langkah pencegahan lebih ketat seperti mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) tidak dipatuhi maka ia akan merebak cepat,” katanya selepas merasmikan Seminar Jururawat Kanser Payudara di Institut Kanser Negara di sini.
Walaupun negara tidak mengalami musim sejuk, peningkatan kes secara mendadak virus bermutasi kebolehjangkitan lebih tinggi itu boleh dilihat di India yang mana negara itu mencatatkan 90,000 kes sehari.
Menurut Dr. Noor Hisham, United Kingdom menjangkakan kes harian sebanyak 50,000 kes dalam tiga minggu lagi.
“Sekarang kebimbangan kita EU dan WHO sudah memberi kenyataan untuk kita tingkatkan kawalan jangkitan Covid-19 secara lebih ketat.
“Kita tidak boleh ambil remeh virus bermutasi kebolehjangkitan tinggi ini, kecuali mengamalkan secara disiplin pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan tidak bersentuhan ditempat sesak dan awam.
“KKM bimbang kita akan berdepan musim sejuk itu dalam masa dua tiga bulan akan datang dan PKPD Secara Pentadbiran pasti akan terkesan.
“Ingat bahawa kita tidak kebal dengan jangkitan ini, masalahnya apabila kita berjaya mengawal penularan tidak menjadi serius, ada yang ambil mudah kita sudah berjaya dan tidak ikut SOP dan bersentuhan serta abaikan penjarakan fizikal.
“Ramai petugas kesihatan dah penat lawan Covid-19, kini bermutasi kebolehjangkitan lebih tinggi pula perlu dihadapi, tolong jangan ambil mudah dan pastikan patuhi SOP yang diketengahkan secara serius,” ujarnya. – MalaysiaGazette