KUALA LUMPUR – Sistem maklum balas daripada peringkat bawah hingga ke atas (bottom-up system) perlu diperkukuh bagi memastikan integrasi dan kerjasama berhubung dasar-dasar dan pelan tindakan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) tidak berbeza daripada keperluan sebenar dengan perancangan yang dibuat.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemimpin tempatan memainkan peranan yang lebih penting ketika ini kerana mereka berhubung secara langsung dengan masyarakat dan terlibat dalam perancangan, pembangunan serta pengurusan bandar-bandar.
“Adalah penting bagi pemimpin tempatan sama ada wakil komuniti atau kerajaan tempatan atau pihak berkuasa tempatan untuk bekerja dengan lebih keras ke arah pengurusan sistem yang lebih efektif dan lancar.
“Kerajasama erat di antara pelbagai peringkat termasuk masyarakat, komuniti, badan bukan kerajaan, profesional, perniagaan, sektor swasta dan jentera kerajaan adalah sangat penting,” katanya ketika berucap pada Forum Urban Malaysia 2020 di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.
Tambah Muhyiddin, sektor swasta mempunyai peranan tersendiri dalam membantu mengukuhkan ekonomi tempatan dan menyediakan peluang pekerjaan.
Dengan itu, ujar beliau, kerjasama dalam melaksanakan agenda lestari serta menukar persekitaran perniagaan adalah asas untuk membasmi kemiskinan dan membiayai pembangunan lestari. – MalaysiaGazette