Home Seni Hidup UTeM penyumbang utama tenaga kerja mahir bidang digital

UTeM penyumbang utama tenaga kerja mahir bidang digital

Graduan UTeM terus menjadi buruan pihak majikan yang bukan hanya dalam negara malahan merentas sempadan dunia.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) dikenal pasti antara institut pengajian tinggi yang berada pada tahap antara tertinggi penyumbang tenaga kerja mahir bidang digital.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, ia merujuk kepada data yang telah dikeluarkan oleh Lembaga Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang meletakkan UTeM di tangga keenam tertinggi dalam negara sebagai pembekal tenaga kerja mahir profesional bidang digital dan bertepatan dengan bidang tumpuan utama UTeM iaitu Teknologi Pembuatan Termaju (AMT).

 

Data yang telah dikeluarkan oleh Lembaga Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang meletakkan UTeM di tangga ke 6 tertinggi dalam negara sebagai pembekal tenaga kerja mahir profesional bidang digital.

Jelas beliau, ia selari dengan peratusan pencapaian kadar kebolehpasaran graduan UTeM yang turut menyerlah iaitu pada kadar 93.7 peratus sekaligus menempatkan UTeM pada tangga ketiga tertinggi dalam negara.

“Ia sekali gus dapat meningkatkan visibiliti dan kedudukan baik universiti awam sebaris dengan universiti ternama di persada global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM, Prof. Dr Zulkifilie Ibrahim yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTeM menyifatkan faktor penawaran program di UTeM yang memenuhi kehendak pasaran serta berpakej aliran Revolusi Industri 4.0 terus menjadikan graduan UTeM terus relevan dan profesional.

Ujarnya, konsep pengajian dan kurikulum UTeM yang bersandarkan kepada keperluan semasa industri dan teknologi terkehadapan serta latihan industri mampan juga turut mencorak graduan UTeM menjadi lebih berkemahiran tinggi.

Merujuk dari segi pembentukan graduan berkemahiran holistik pula, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTeM, Prof. Madya Dr Nurulfajar Abd Manap berkata, UTeM mempunyai resipi tersendiri bagi mencorak graduan berkemahiran tinggi mampan dalam pasaran kerja dunia.

“Kami menggunakan formula TUAH iaitu Tangkas, Unggul, Adaptif dan Holistik diterapkan dalam diri setiap mahasiswa agar mereka terus berkarisma tinggi di persada dunia,” katanya lagi.

Penolong Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat (JIM), Prof. Madya Ir Dr Md Nazri Othman menambah, keupayaan UTeM membentuk rantaian kerjasama strategik bersama rangkaian industri dalam dan luar negara merupakan kelainan dan nilai tambah yang dimiliki UTeM.

Katanya, dengan rantaian itu, pihak industri dan UTeM saling bekerjasama dan memberikan input yang berimpak yang diperlukan mereka kepada UTeM di samping berkongsi kepakaran dan teknologi semasa dunia.- MalaysiaGazette