Home Utama Hajiji angkat sumpah Ketua Menteri Sabah ke-16

Hajiji angkat sumpah Ketua Menteri Sabah ke-16

Hajiji Noor

KOTA KINABALU – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Hajiji Noor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman hari ini mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah Ke-16 di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Turut mengangkat sumpah di Istana Negeri Sabah di sini hari ini tiga Timbalan Ketua Menteri iaitu Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga ADUN Lamag, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan (ADUN Tambunan), dan Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Dr Joachim Gunsalam (ADUN Kundasang).

Bung Moktar turut mengangkat sumpah sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Jeffrey (Menteri Pertanian dan Perikanan), dan Joachim (Menteri Pembangunan Perindustrian).

Turut mengangkat sumpah hari ini Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah Datuk Seri Masidi Manjun sebagai Menteri Kerja Raya Sabah dan Setiausaha Agung PBS Datuk Jahid Jahim (Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah)

Turut hadir isteri Yang Dipertua Negeri Sabah Toh Puan Norlidah R M Jasni, Menteri Kanan (Keselamatan)  Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merangkap Naib Presiden UMNO, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang juga Naib Presiden Bersatu, dan Timbalan Presiden PBS Datuk Seri Radin Malleh.

Terdahulu sebelum mengangkat sumpah semua pemimpin itu menerima watikah pelantikan masing-masing daripada Juhar.

Selepas mengangkat sumpah, pemimpin itu menandatangani watikah pelantikan disaksikan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Datuk  Martin Idang, sebelum Mufti Kerajaan Negeri Sabah Datuk Bungsu @Aziz Jaafar membacakan doa.

Gabungan Rakyat Sabah memperoleh majoriti mudah untuk mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan negeri daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 apabila memperoleh 38 daripada keseluruhan 73 kerusi DUN negeri ini. – Bernama