Home Pendapat Jangan putus asa, masih ada bantuan pembayaran balik pinjaman bersasar

Jangan putus asa, masih ada bantuan pembayaran balik pinjaman bersasar

MORATORIUM secara automatik bakal berakhir pada 30 September ini, dan pihak AKPK
sarankan rakyat Malaysia agar mengambil langkah-langkah proaktif dalam menilai
keadaan kewangan masing-masing pada masa ini dan untuk masa hadapan. Ketika
ekonomi negara sedang menunjukkan tanda-tanda pemulihan, kami faham bahawa
masih terdapat ramai individu yang cuba sedaya upaya untuk menangani impak
pandemik Covid-19.

Para pelanggan yang menjangkakan akan menghadapi kesukaran untuk meneruskan pembayaran balik pinjaman harus menghubungi pihak bank masing-masing bagi berbincang mengenai pembayaran balik pinjaman mereka sebelum tempoh moratorium tamat. Terdapat pelbagai pilihan bantuan pembayaran balik pinjaman bersasar bagi membantu para pelanggan untuk menguruskan kewangan mereka dengan lebih baik.

Antaranya, adalah seperti mengurangkan jumlah komitmen bulanan, melanjutkan jadual
pembayaran-balik pinjaman dan/atau menukar syarat-syarat pembiayaan bagi
menyesuaikan diri mereka dengan situasi yang belum pernah terjadi sebelum ini.
Walau bagaimanapun, para pelanggan juga boleh mendapatkan nasihat dan bantuan
secara bebas dari pihak Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sekiranya
cadangan dari pihak bank tidak memenuhi komitmen kewangan mereka secara
menyeluruh ataupun mereka sudah pun mempunyai beberapa pinjaman dari bank.

Pihak AKPK akan mempertimbang komitmen kewangan mereka secara menyeluruh
dan seterusnya menyediakan beberapa pelan pembayaran balik pinjaman yang sesuai
bagi keputusan pelanggan. Dalam itu, AKPK juga ada menyediakan khidmat kaunseling
dan pendidikan dalam pengurusan kewangan secara berhemat. Khidmat-khidmat
tersebut akan membantu para pelanggan untuk meningkatkan produktiviti mereka di
tempat kerja dan dan seterusnya memberikan ketenangan minda apabila situasi
kewangan terkawal.

Oleh: Azaddin Ngah Tasir, Ketua Pegawai Eksekutif AKPK (Agensi
Kaunseling & Pengurusan Kredit)