Home Ekonomi RM500,000 subsidi upah pekerja diambil majikan

RM500,000 subsidi upah pekerja diambil majikan

Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Lebih kurang RM500,000 subsidi upah yang sepatutnya dibayar kepada pekerja, telah diambil oleh majikan.

Berikutan itu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada majikan yang melakukan kesalahan ini.

”Saya ingin memaklumkan bahawa dalam ketika kerajaan berusaha membantu perniagaan dan pekerja untuk kelangsungan perniagaan mereka, saya berasa sedih dengan syarikat-syarikat yang tidak bertanggungjawab yang tergamak mengambil kesempatan melalui program subsidi upah,” katanya dalam Laporan Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Menurutnya, setakat 18 September 2020, sebanyak RM11.93 bilion subsidi upah telah diluluskan yang memanfaatkan lebih 2.6 juta pekerja.

Bagi Program Subsidi Upah kepada majikan yang asalnya untuk tempoh hanya tiga bulan (April, Mei dan Jun) telah dilanjutkan selama 3 bulan tambahan (Julai, Ogos dan September) di bawah Penjana yang menjadikan enam bulan secara keseluruhan.

Program ini akan dilanjutkan lagi antara tiga hingga enam bulan (bagi pemohon sedia ada dan baharu) di bawah pakej Kita Prihatin.

Dalam pada itu, seramai 38,186 pekerja (peningkatan daripada 33,688 minggu lalu) telah berjaya mendapat pekerjaan, merangkumi 29,575 orang di bawah umur 40 tahun, 4,829 orang bagi golongan berusia di antara 40 – 60 tahun, 270 Orang Kelainan Upaya (OKU) dan 3,512 perantis.

Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan dengan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion.

Untuk Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKA B40) yang dikawal selia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 90,694 tuntutan diterima yang berjumlah RM5.92 juta di antara 1 Julai hingga 18 September lalu.

Melalui PeKA B40, mereka yang layak iaitu Penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pasangannya yang berdaftar; dan berumur 40 tahun dan ke atas] akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan untuk melakukan saringan kesihatan di klinik-klinik yang berdaftar dengan PeKA B40.

Pemohon yang layak bakal menerima empat manfaat daripada skim ini meliputi perkhidmatan saringan kesihatan.

”Pendaftaran masih dibuka dan saya ingin menggalakkan mereka yang layak, agar mengambil peluang ini dan mendaftar melalui pautan rasmi KKM iaitu www.pekab40.com.my,” katanya. – MalaysiaGazette