LONDON – Manchester City percaya mereka sudah menjumpai pengganti untuk kekosongan bek pertahanan Vincent Kompany iaitu Ruben Dias.
Pep Guardiola dilaporkan bakal mengesahkan pembelian bintang prolifik Benfica berusia 23 tahun itu dalam masa 24 jam lagi.
Sementara itu, Nicolas Otamendi yang diturunkan untuk mengisi kekosongan Kompany sebelum ini gagal memenuhi apa yang diharapkan dan akan meninggalkan kelab berkenaan dengan yuran perpindahan bernilai £13.7 juta.
Difahamkan, yuran berjumlah £63 juta telah dirunding dan dimuktamadkan oleh kedu-dua kelab untuk pemain antarabangsa Portugal itu.
Man City ditewaskan 5-2 oleh Leicester di Etihad dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL)pada Ahad lalu disebabkan kubu pertahanan yang bermasalah.
Pada malam Ahad, Benfica mengeluarkan kenyataan rasmi mengesahkan Dias akan meninggalkan kelab itu dan Otamendi akan menggantikannya.
Bagaimanapun masih terdapat beberapa dokuman akhir yang perlu ditandatangani pemain itu sebelum perpindahan itu dilengkapkan.
Dias merupakan kapten pasukan Benfica dalam aksi kemenangan menentang Moreirense Sabtu lalu sebelum memeluk rakan-rakan sepasukan serta Pengarah Sukannya Rui Costa selepas wisel penamat ditiup sebagai mesej selamat tinggal.
Dias setakat ini menjaringkan 12 gol dalam 133 penampilan untuk kelab itu
Sejak Kompany meninggalkan Man City selepas musim liga 2018-19, Guardiola menggunakan khidmat pemain tengah pasukannya Fernandinho sebagai bek pertahanan untuk jangka masa pendek.
City pernah dikaitkan dengan Kalidou Koulibaly, bagaimanapun usia pemain itu kini 29 tahun dengan hanya berbaki tiga tahun kontrak bersama Napoli menyebabkan City tidak berhasrat mengeluarkan dana besar £70 juta untuk pemain Senegal itu.-MalaysiaGazette