Cadangan pihak Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) baru- baru ini yang mencadangkan agar pemberian bonus kepada penjawat awam dilaksanakan mengikut merit walaupun secara teorinya menarik namun dari segi realitinya ianya mungkin sukar. Ini kerana proses sasaran pekerja pada tahun 2020 ini sukar untuk dipenuhi akibat daripada penularan virus Novel Koronavirus (Covid-19) yang bermula pada awal tahun 2020. Menurut Presiden MAAC cadangan yang dinyatakan berkemungkinan boleh dilakukan berdasarkan markah Laporan Nilai Prestasi Tahunan (LNPT) yang diperoleh petugas serta prestasi petugas dalam mencapai Penunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan oleh jabatan dan kerajaan.
Namun persoalan harus ditanya sama ada segala sasaran kerja yang telah ditetapkan melalui proses LNPT dan KPI terutamanya untuk tahun ini sudah diubah suai supaya relevan dan sesuai untuk dilaksanakan. Ini mengambil kira keadaan kerja masa kini yang telah banyak berubah berbanding dengan tahun-tahun yang lalu. Sekiranya pihak majikan telah melakukan proses perubahan terhadap segala proses sasaran kerja dengan mengambil kira perubahan aspek pekerjaan pada masa kini akibat daripada penularan virus Covid-19, mungkin cadangan MAAC boleh diberi pertimbangan sewajarnya.
Sekiranya sasaran kerja masih menggunakan sasaran kerja yang sama seperti tahun-tahun lalu, ramai pekerja berkemungkinan tidak akan dapat memenuhinya, sekali gus enafikan hak mereka untuk mendapat sebarang bonus dan segala jenis hak yang sepatutnya mereka terima. Adalah penting supaya setiap pekerja dinilai dengan adil dengan mengambil kira semasa keadaan sekeliling. Semua sektor pekerjaan yang ada dalam negara sama ada sektor awam atau pun swasta perlu menilai semula semua sasaran kerja mereka serta menilai tahap prestasi yang perlu dipenuhi oleh setiap pekerja mereka untuk tahun 2020 ini dengan mengambil kira keadaan semasa luar jangka yang sedang dihadapi pada ketika ini.
Segala sasaran kerja serta tahap prestasi yang perlu dipenuhi oleh setiap pekerja seperti yang telah di rangka pada tahun-tahun yang lalu tidak lagi boleh dipakai pada tahun ini akibat daripada penularan virus Covid-19 di serata dunia. Penularan virus Covid-19 yang boleh membawa maut ini telah membawa perubahan drastik terhadap kehidupan semua pihak termasuklah kehidupan para pekerja. Banyak aktiviti harian serta kerja yang terpaksa ditangguh dan dibatalkan sepenuhnya bagi membendung penularan virus berkenaan. Kerajaan di serata dunia termasuklah Malaysia telah pun melaksanakan perintah kawalan pergerakan bagi mengekang penularan virus berbahaya terbabit. Sama ada kita suka ataupun tidak, corak kehidupan kita sekarang sudah berubah sepenuhnya dimana ramai pihak yang tidak dapat melakukan tugasan seperti yang biasa dilakukan sebelum ini. Walaupun ada tempat kerja yang menyarankan kakitangannya bekerja dari rumah dan menggunakan teknologi komunikasi moden, tidak semua tempat kerja yang mampu menggunakan sistem teknologi komunikasi moden dengan sepenuhnya atas faktor- faktor tertentu. Hasil kerja yang dilaksanakan melalui penggunaan teknologi komunikasi moden ini juga tidak dapat saingi dan mencapai tahap keberkesanan dan mutu kualiti hasil kerja seperti penggunaan sistem kerja secara konvensional dengan berada di tempat kerja seperti yang biasa diamalkan oleh para pekerja dalam negara kita buat sekian lama.
Memandangkan kita tidak dapat memenuhi tahap keberkesanan dan mutu kualiti hasil kerja seperti biasa yang dilakukan pada tahun-tahun sebelum ini, adalah dicadangkan supaya supaya setiap tempat kerja yang ada dalam negara kita untuk melihat semula sasaran kerja yang telah disasarkan di tempat kerja masing- masing serta menilai semula tahap prestasi yang perlu dipenuhi oleh setiap pekerja mereka sepanjang tahun 2020 ini. Memandangkan penularan virus Covid-19 sudah pun menganggu segala aktiviti harian pekerja, adalah wajar sekiranya semua majikan di semua sektor pekerjaan melihat dan menyemak semula terhadap semua sasaran kerja yang telah ditetapkan. Sasaran kerja serta tahap prestasi setiap pekerja tidak boleh lagi dinilai pada tahun ini dengan mengikut cara sebelum ini. Hakikat perubahan ini harus diterima oleh setiap majikan.
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)