Home Ekonomi Langkah pemulihan ekonomi dibentang dalam Belanjawan 2021

Langkah pemulihan ekonomi dibentang dalam Belanjawan 2021

Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL

KUALA LUMPUR – Langkah-langkah untuk mengekalkan momentum pemulihan ekonomi sedang diperinci dan akan diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November 2020.

Kementerian Kewangan berkata, kerajaan akan memastikan pelaksanaan projek yang telah diluluskan dan langkah-langkah di bawah pakej rangsangan dilaksanakan dengan segera bagi membantu negara pulih dari krisis pandemik ini secepat yang mungkin.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal 2020 hari ini yang dipengerusikan buat pertama kalinya oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jawatankuasa telah membincangkan anggaran dan prospek pertumbuhan ekonomi serta kedudukan fiskal kerajaan bagi penyediaan Belanjawan 2021.

Mereka turut membincangkan langkah-langkah untuk membantu rakyat dan perniagaan serta memastikan tanggungjawab fiskal dengan pendekatan seimbang bagi menyokong momentum pemulihan dengan fokus membantu mereka yang kurang bernasib baik dan yang terjejas teruk berikutan krisis ini.

Ini bagi memastikan kesinambungan dan keberkesanan pakej-pakej rangsangan ekonomi Prihatin, Prihatin PKS+, Penjana dan Kita Prihatin, kata kementerian itu.

Di samping itu, jawatankuasa bersetuju memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh pertumbuhan ekonomi terutama merancak dan menarik pelaburan berkualiti yang berimpak tinggi dan mempunyai kesan pengganda kepada ekonomi.

Tambahnya, langkah konsolidasi fiskal akan dilaksanakan secara lebih berhemah mengambil kira tahun 2021 merupakan tahun peralihan fasa pemulihan krisis Covid-19.

Situasi ekonomi global pada tahun ini adalah amat mencabar berikutan pandemik itu menyebabkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dianggar menguncup antara 5.5% hingga 3.5% pada tahun ini.

Namun ia dijangka kembali pulih dengan pertumbuhan antara 5.5% hingga 8% pada tahun 2021.

Defisit fiskal berbanding KDNK bagi tahun 2020 diunjurkan 5.8% hingga 6% dan paras ini dijangka terus berkurangan pada tahun 2021.

”KDNK Malaysia telah menyusut sebanyak 8.3% pada separuh tahun pertama 2020, namun dijangka lebih baik bagi tempoh separuh kedua dengan pembukaan semula aktiviti ekonomi serta pelaksanaan pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi.  – MalaysiaGazette