Home Nasional Pemandu Uber mengaku tidak bersalah cabul penumpang warga Vietnam

Pemandu Uber mengaku tidak bersalah cabul penumpang warga Vietnam

Kejadian pemandu Uber dipukul kerana didakwa mencabul penumpang warga Vietnam.

PULAU PINANG – Seorang pemandu Uber berusia 30 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan mencabul penumpangnya, seorang wanita warga Vietnam.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Sukri Ramli didakwa menggunakan kekerasan dengan maksud untuk mencabul mangsa, Tran Thi Thu Thuan, 43, di dalam kereta jenis Proton Saga di Lintang Paya Terubong di sini kira-kira pukul 3.56 petang 6 Jun lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan di hadapan Majistret Catherine Nicholes.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzah Shaharuddin menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 selain mengarahkan Muhammad Sukri tidak mendekati mangsa memandangkan dia mengetahui tempat tinggal mangsa.

Bagaimanapun, Muhammad Sukri merayu jaminan dikurangkan memandangkan dia hanya bekerja sebagai penyelia di sebuah hotel dan perlu menanggung isteri serta seorang anak.

Tertuduh juga memaklumkan dia sedang menanggung hutang yang perlu dijelaskan menerusi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Catherine kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan Muhammad Sukri juga diarah melaporkan diri di Balai Polis Sungai Nibong di sini setiap Isnin sehingga perbicaraan kesnya selesai.

Selain itu, tertuduh juga diarah melantik peguam sebelum kesnya disebut semula pada 18 Julai ini.

Kes itu sebelum ini menjadi tumpuan di media sosial selepas tertuduh dipukul 10 lelaki menggunakan kayu besbol kerana didakwa mencabul wanita warga Vietnam berkenaan yang menggunakan perkhidmatan Ubernya.

Dia didakwa membuka zip seluar dan menarik tangan wanita berkenaan supaya memegang kemaluannya ketika menghantar mangsa dari dari Lintang Paya Terubong ke Jalan Agril di sini.

Kejadian itu kemudiannya dilaporkan kepada suami mangsa yang kemudian bertemu tertuduh dan memukul serta merosakkan kenderaannya bersama 10 individu lain.

Ekoran itu, polis turut menahan reman kesemua yang terlibat dalam kejadian tersebut termasuk mangsa dan suaminya untuk membantu siasatan. – MalaysiaGazette