Home Seni Hidup Bulan Menabung SSPN pilih tema Superhero

Bulan Menabung SSPN pilih tema Superhero

Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN, Tan Sri Datuk Seri Dr. Sulaiman Mahbob diiringi Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid (dua kiri) menyempurnakan gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran Bulan Menabung SSPN 2020 di Hotel Istana Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 01 OKTOBER 2020

KUALA LUMPUR – Masyarakat perlu peka dan faham jika tanpa perancangan kewangan yang baik dan awal adalah sukar untuk anak-anak belajar dan meneruskan cita-cita mereka.

Ketua Eksekutif, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, walaupun negara dilanda pandemik Covid-19, simpanan pendidikan untuk masa depan anak-anak tetap perlu diteruskan.

Jelas beliau, ini kerana anak-anak masih belum matang untuk memikirkan simpanan pendidikan masa depan mereka.

“Oleh itu, PTPTN dan ibu bapa perlu bersama-sama berganding bahu bertindak sebagai Superhero dan celik mengenai kepentingan tabungan pendidikan tinggi anak-anak Malaysia.

“Dengan adanya produk SSPN, ternyata ia mampu merealisasikan hasrat untuk menggalakkan masyarakat membuat perancangan kewangan bagi tujuan pendidikan tinggi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Menabung SSPN 2020 yang bertemakan Superhero di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob yang mewakili Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan.

Mengulas lanjut, Ahmad Dasuki menambah, golongan ibu bapa tidak perlu khuatir walaupun program menabung itu diadakan dalam talian kerana ia masih berpeluang untuk menyertai pelbagai aktiviti yang menarik dan menyeronokkan.

Antaranya jelas beliau, adalah kuiz Kahoot !, Happy Hour, Tabung DIY, SSPN Got Talent, Teka dalam Tabung, Bento SSPN Chef Junior, WOW! SSPN Challenge, Cabutan Hadiah dan Kongsi Gambar Tabung.

Ujarnya, paling istimewa adalah penampilan khas Didi & Friends sekali lagi yang merupakan rakan strategi PTPTN untuk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

“Rebutlah hadiah-hadiah istimewa dengan aktiviti-aktiviti menarik yang telah disediakan. Bukan setakat menyertai aktiviti dan memenangi hadiah, tetapi inilah masa sesuai untuk ibu bapa mengenali SSPN dengan lebih dekat lagi.

“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada semua rakyat Malaysia terutama ibu bapa untuk memainkan peranan sebagai Superhero anak-anak dengan amalan menabung. Adalah diharapkan agar peluang dengan promosi yang telah disediakan dalam penganjuran program Bulan Menabung ini dapat dimanfaatkan,” katanya. – MalaysiaGazette