TOKYO – Bursa Saham Tokyo menangguhkan dagangannya sepanjang hari ini kerana gangguan dalam sistem dagangan elektronik.
Gangguan ini adalah terburuk yang pernah dialami oleh pasaran saham ketiga terbesar di dunia ini.
Penutupan itu mengecewakan para pelabur yang ingin membeli kembali saham selepas debat Presiden Amerika Syarikat buat kali pertama.
Gangguan ini disifatkan merosakkan kredibiliti Bursa Tokyo selepas Perdana Menteri Yoshihide Suga mahu menjadikan digitalisasi sebagai keutamaan.
Keadaan ini muncul ketika Tokyo berharap dapat menarik lebih banyak bank dan pengurus dana dari Hong Kong, di tengah-tengah kebimbangan perniagaan terhadap undang-undang keselamatan baharu yang diperkenalkan oleh China.
”Keadaan yang berlaku ini teruk,” kata Takashi Hiroki, Ketua Strategi Monex di sini.
Ramai peserta pasaran berharap dapat membeli kembali saham atau meningkatkan pegangan mereka berikutan kenaikan semalam di Wall Street.
“Pasaran telah dirampas daripada kesempatan itu,” katanya.
Bursa itu menyatakan gangguan berlaku akibat masalah perkakasan pada sistem perdagangan “Arrowhead”, dan kegagalan seterusnya untuk beralih ke peranti sandaran.
Ia adalah penangguhan pertama kali sepanjang hari sejak perdagangan elektronik semua bermula pada tahun 1999.
“TSE (Bursa Saham Tokyo) kini merancang untuk mengganti perkakasan dan mengambil langkah-langkah, termasuk penyelenggaraan lain, untuk memastikan perdagangan normal mulai esok dan seterusnya,” kata Japan Exchange Group, yang mengendalikan Bursa Saham Tokyo, dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Saham Tokyo, Koichiro Miyahara akan mengadakan sidang akhbar pada jam 4.30 petang (0730 GMT).
Bursa wilayah yang lebih kecil di Nagoya, Fukuoka, dan Sapporo juga terpaksa menghentikan dagangan mereka kerana menggunakan sistem Bursa Saham Tokyo.
Ia menjadikan Osaka Exchange yang fokus pada derivatif sebagai satu-satunya pasaran ekuiti yang masih berjalan.
Niaga hadapan Nikkei, yang didagangkan di Osaka, meningkat 0.56% hari ini, sejajar dengan kenaikan saham AS semalaman. – MalaysiaGazette