KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa bersetuju dengan pandangan netizen agar tidak berlaku Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dalam tempoh terdekat ini.
Sebaliknya, kata beliau, kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini harus menumpukan kepada usaha mengekang penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan selepas berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.
Beliau turut menggesa semua parti politik, baik dari Muafakat Nasional (MN), PN mahupun Pakatan Harapan (PH) agar tidak memikirkan soal berpolitik semata-mata.
Katanya, semua parti politik harus bekerjasama dengan kerajaan, Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk bagaimana mencari jalan mengatasi Covid-19 yang sudah mencapai angka tiga bagi kes positif semalam.
“Saya secara peribadinya bersetuju dengan kutipan pandangan dari netizen di media sosial yang lebih 80 peratus tidak bersetuju jika PRU 15 diadakan dalam tempoh terdekat ini.
“Oleh itu, saya menyeru parti-parti jangan pentingkan politik, sebaliknya utamakan nyawa dan keselamatan rakyat.
“Saya sendiri, selepas pulang dari Sabah, belum pulang ke rumah. Saya mengawal diri dengan tinggal di hotel. Ini bagi mengelakkan berlaku jangkitan yang tidak diingini,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis serah tugas Datuk Bandar Kuala Lumpur di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.
Pada majlis itu mantan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Norhisham Ahmad Dahlan menyerahkan tugas kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu, Datuk Mahadi Che Ngah.
Menurut Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, mengakui sepanjang berada di Sabaj mengendalikan jentera pilihan raya, berlaku ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP).
Kegagalan mematuhi SOP itu, katanya, menyebabkan ada di kalangan mereka dijangkiti wabak Covid-19 dan membawa pulang virus itu ke Semenanjung.
“Sepanjang PRN Sabah ramai tidak patuh SOP. Mereka pulang ke Semenanjung, kemudian menularkan wabak itu di sini.
“Oleh itu, kita perlu menjaga kawalan diri dan mematuhi SOP seperti membasuh tangan, memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal,” katanya. – MalaysiaGazette