Home Nasional 89 degil ingkar arahan PKP ditahan

89 degil ingkar arahan PKP ditahan

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai 89 individu ditahan polis atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan, yang mana daripada jumlah itu 77 individu telah dikompaun dan 12 lagi direman.

Kesalahan paling banyak dilakukan ialah tidak memakai pelitup muka yang membabitkan 30 orang, selain ingkar penjarakan fizikal (29), gagal menyediakan peralatan/rekod butiran diri (14), langgar perintah PKPDB (10), aktiviti dalam pub/kelab malam (5) dan premis beroperasi tanpa lessen (1).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 2,978 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 12,753 anggota telah membuat pemantauan di 3,425 pasar raya, 4,467 restoran serta 1,579 penjaja, 1,144 kilang, 3,595 bank dan 678 pejabat kerajaan.

Sebanyak 1,673 terminal pengangkutan darat, 199 terminal pengangkutan air serta 106 terminal pengangkutan udara turut dipantau.

Kawalan sempadan negara dalam Operasi Benteng berjaya melakukan tangkapan 22 pendatang asing tanpa izin dan dua tekong, turut merampas sebuah bot dan sembilan kenderaan darat.

”Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya dalam kenyataan di sini.

Dalam pada itu, Ismail memaklumkan sejak 24 Julai sehingga 1 Oktober 2020, seramai 38,843 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 65 hotel dan 10 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta.

Daripada jumlah itu, seramai 8,648 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 106 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

Seramai 30,089 individu telah dibenarkan pulang. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.