KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Datuk Liew Vui Keong yang meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru.
Menteri Pengangkutan itu mengenali Liew sejak beliau dipilih menjadi Ahli Parlimen Sandakan dan memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada tahun 2008 dan kemudiannya Timbalan Menteri di JPM (Hal Ehwal Undang-undang & Urusan Parlimen) pada tahun 2009-2013.
Beliau pernah tewas pada PRU-13 tapi bangkit semula dan dipilih sebagai Ahli Parlimen Batu Sapi atas tiket parti Warisan pada Mei 2018.
Ka Siong berkata, semasa beliau menjadi pembangkang, banyak juga perkara yang mereka saling bercanggah pendapat terutamanya berkaitan isu pemansuhan hukuman mati.
Namun hubungan persahabatan kami tidak terhenti hanya kerana berbeza pendapat.
”Kami saling berusaha dalam apa jua perkara yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara.
”Pemergian Datuk VK Liew pastinya merupakan kehilangan besar kepada masyarakat dan negara. Jasa dan bakti beliau sebagai pemimpin akan terus dikenang,” ujarnya.
Dalam pada itu, MCA turut menyampaikan menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mendiang.
Walaupun MCA dan Liew berbeza fahaman politik dari tahun 2018, mendiang dikenali sebagai individu yang terkenal dengan kerendahan hati, kata jurucakap MCA, Chan Quin Er.
Liew juga seorang pemimpin yang yakin dengan isu-isu yang dibawanya. – MalaysiaGazette