KUALA LUMPUR -Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam bersetuju dengan arahan semua universiti menangguhkan dahulu pendaftaran secara fizikal atau bersemuka pelajar-pelajar baharu dan lama ke kampus.
Pengerusinya, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, persetujuan itu selepas mengambil kira saranan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan pandangan pelbagai pihak memandang bahaya penularan pandemik.
“Semua pelajar dikehendaki membuat pendaftaran mata pelajaran serta pengajaran dan pembelajaran (PdP) perlu diadakan secara dalam talian supaya semuanya berjalan dengan lancar tanpa mengambil sebarang risiko yang tinggi.
“Kami juga memohon para pelajar supaya merujuk kepada universiti masing-masing sekiranya pelajar menghadapi sebarang masalah dan kemusykilan berkaitan PdP dengan menghubungi fakulti atau Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) supaya mendapat informasi yang tepat dan jelas,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru, Mohammad Shatar berharap para pelajar sentiasa menjaga diri dan mematuhi SOP ketika berada di kampung halaman masing-masing bagi mengelakkan sebarang jangkitan Covid-19 berlaku. – MalaysiaGazette