PUTRAJAYA- Peningkatan kes Covid-19 sejak akhir-akhir ini jelas disebabkan ketidakpatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) oleh orang ramai di semua peringkat, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.
Menurut beliau, virus Covid-19 memerlukan kontak yang rapat untuk merebak dan disebabkan itulah pelbagai SOP telah dikeluarkan bagi membolehkan penularan wabak dapat dikekang.
Tegasnya, apa yang berlaku di Sabah adalah contoh terbaik untuk dijadikan pengajaran yang mana apabila SOP tidak dipatuhi, wabak Covid-19 boleh merebak dengan meluas dan seterusnya menyebabkan kes positif meningkat saban hari.
“Kita boleh merasa penat tetapi virus tidak pernah penat.
“Sabah adalah satu contoh terbaik. Diharapkan semuanya mengambil iktibar dan tidak mengulanginya lagi. Peningkatan kes yang berlaku sekarang adalah kerana ketidakpatuhan SOP di semua peringkat.
“Kami tidak menyalahkan sesiapa tetapi kita perlu sentiasa ingat-mengingati sahaja,” katanya semasa sidang media khas Covid-19 di sini hari ini.
Noor Hisham juga menasihatkan mana-mana pihak yang berhasrat untuk mengadakan perhimpunan atau persidangan untuk menangguhkan perancangan tersebut.
Katanya, Malaysia masih belum bebas daripada wabak Covid-19 dan tempat paling selamat adalah di rumah.
Namun begitu, sekiranya perhimpunan atau persidangan tersebut sangat penting dan perlu juga diteruskan, beliau meminta pihak penganjur dan tetamu supaya mematuhi SOP-SOP yang telah ditetapkan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.
“Kita belum pulih dan kembali kepada keadaan biasa lagi.
“Jika kita mahu menyaksikan kes-kes semakin menurun seperti dulu-dulu, semua pihak perlu bertanggung jawab dan memainkan peranan masing-masing,” katanya lagi.- MalaysiaGazette