Home Nasional Buat saringan jika pulang dari Sabah sebelum 26 September

Buat saringan jika pulang dari Sabah sebelum 26 September

ARKIB- Penumpang dari Sabah yang menjalani ujian saringan Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). foto MOHD ADZLAN, 27 SEPTEMBER 2020.

PUTRAJAYA- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan individu yang pulang dari Sabah terutamanya dari Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna bermula 20 September hingga 26 September lalu untuk tampil secara sukarela menjalankan saringan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, KKM tidak mewajibkan saringan Covid-19 ke atas individu yang pulang dari Sabah sebelum 26 September namun mereka digalakkan untuk berbuat demikian.

Ini menurutnya kerana terdapat empat zon merah sahaja di Sabah dan masih ada zon hijau dan kuning.

“Kita galakkan sesiapa yang pernah ada perjalanan ke Sabah terutamanya dari zon merah (di antara 20-26 September) untuk membuat saringan.

“Bagi mereka yang bergejala juga perlu melakukan saringan,” katanya semasa sidang media hari ini.

Kerajaan hanya mewajibkan saringan Covid-19 di pintu-pintu masuk asing dan domestik kepada semua individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah bermula 27 September lalu.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kebimbangan ibu bapa terhadap peningkatan kes kebelakangan ini, Noor Hisham berkata, KKM sentiasa melakukan pemantauan terhadap jangkitan Covid-19 di sekolah-sekolah.

Setakat ini, hanya sekolah-sekolah yang terlibat dengan kes positif Covid-19 sahaja ditutup selama dua minggu untuk tujuan sanitasi dan nyah-cemar.

Ujian saringan Covid-19 juga sedang dilakukan kepada semua murid dan guru di sekolah-sekolah terlibat.- MalaysiaGazette