PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) belum bercadang untuk mengesyorkan semula penutupan sekolah di seluruh negara walaupun kes positif Covid-19 menunjukkan peningkatan mendadak mingggu ini.
Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bagaimanapun semua pihak termasuk guru dan pelajar di sekolah perlu mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan KKM sepanjang masa.
“Kalau sekolah tersebut ada jangkitan contohnya kita lihat dulu, sebelum ini di Kluster Tawar ada seorang guru terlibat positif dan guru itu telah kembali ke sekolah dan ada jangkitan berlaku barulah disyorkan tutup sekolah.
“Tetapi setakat ini kita (KKM) tidak disyor penutupan sekolah, aktiviti tetap boleh berjalan tetapi kena berhati-hati dan patuh SOP,” katanya pada sidang media berhubung situasi semasa jangkitan penyakit Covid-19 di kementeriannya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pendirian KKM sama ada bercadang untuk mengesyorkan penutupan sekolah di seluruh negara susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 yang agak merisaukan ibu bapa mengenai aspek keselamatan anak mereka.
Semalam Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya menyebut sebarang keputusan menentukan arahan penutupan sekolah akibat jangkitan Covid-19 adalah terletak kepada kuasa KKM dan juga Majlis Keselamatan Negara.- MalaysiaGazette