Home Nasional PM akan tangani isu cukai pelancongan – Johari

PM akan tangani isu cukai pelancongan – Johari

Datuk Seri Johari Ghani bercakap kepada media selepas selesai Majlis Pelancaran Khazanah Nasional Sustainable & Responsible Investment (SRI) Sukuk di Sekolah Kebangsaan Desa Pandan, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 13 JUN 2017

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak akan menyelesaikan isu cukai pelancongan yang menjadi pertikaian antara Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz dan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

“Isu ini sudah menjadi isu politik. Perdana Menteri akan menanganinya,” kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau enggan mengulas sama ada pelaksanaan cukai pelancongan yang akan dikuatkuasakan pada 1 Julai ini ditangguhkan disebabkan isu berkenaan.

Sementara itu, difahamkan, Perdana Menteri akan membuat pengumuman mengenai cukai tersebut selepas mesyuarat Kabinet esok.

Pelaksanaan cukai pelancongan itu akan menyaksikan kenaikan kadar antara RM2.50 dan RM20 untuk penginapan semalam bagi hotel dan tempat penginapan yang berdaftar.

Negara dijangka menjana sebanyak RM654.62 juta hasil pelaksanaan cukai tersebut.

Bagaimanapun, Abdul Karim melahirkan kebimbangan tentang mekanisme pelaksanaan cukai itu, turut mempersoalkan sama ada kutipan cukai itu akan diagihkan kepada kerajaan negeri atau sebaliknya.

Namun kebimbangan Abdul Karim itu telah disifatkan Nazri sebagai cubaan ‘berlagak samseng’.

Kenyataan Nazri itu kemudian disifatkan sebagai satu penghinaan kepada Abdul Karim oleh Pemuda Barisan Nasional Sarawak.

Sarawak kemudiannya mengumumkan keluar daripada Lembaga Pelancongan Malaysia berkuatkuasa serta-merta. – MalaysiaGazette