LONDON – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berpendapat jaringan awal yang dihasilkan oleh Aston Villa telah membuatkan anak buahnya kehilangan punca sekali gus dibelasah teruk 2-7 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi.
Kelalaian penjaga gol, Adrian seawal minit keempat telah memberikan peluang yang cukup mudah buat peledak hatrik, Ollie Watkins untuk membuka tirai jaringan pada aksi di Villa Park tersebut.
Keadaan itu kemudiannya merintis kepada aksi kurang bertenaga barisan pemain Liverpool meskipun The Reds mendominasi perlawanan dengan penguasaan bola yang lebih baik dipamerkan skuad juara bertahan itu.
”Pertamanya anda perlu katakan bahawa Villa melakukan dengan sangat baik.
”Kami memiliki peluang keemasan di mana kami tidak menggunakan kesempatan itu, tetapi apabila anda dibolosi tujuh gol, saya tidak pasti anda boleh mengatakan ia akan menjadi 7-7.
”Kami melakukan terlalu banyak kesilapan dan sememangnya cukup besar. Ia bermula dengan gol pertama dan pada ketika itu kami melakukan kesilapan yang amat besar.
”Tidak siapa yang boleh dipersalahkan selain dari diri saya dan pemain,” katanya kepada Goal.
Dalam pada itu, Klopp turut memuji corak permainan kemas dipamerkan Aston Villa sehingga menjadikan pasukannya sebagai juara bertahan liga utama yang pertama dibolosi sebanyak tujuh gol dalam tempoh 67 tahun. – MalaysiaGazette