KUALA NERUS – Dua buah sekolah di Terengganu ditutup mulai hari ini hingga 11 Okt berikutan terdapat pelajar dan muridnya yang disahkan positif COVID-19.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu Salim Ab Ghani berkata dua sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Seberang Takir dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir di Kuala Nerus.
“Penutupan sekolah ini dilakukan setelah mendapat nasihat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu bagi membolehkan aktiviti disinfeksi dilakukan.
SMK Kompleks Seberang Takir mempunyai 765 pelajar dan 82 guru manakala SK Kompleks Seberang Takir mempunyai 817 murid dan 63 guru.
Pada Jumaat lepas, SK Padang Kemunting juga di Kuala Nerus ditutup setelah seorang gurunya disahkan positif COVID-19 manakala sehari sebelum itu, sebuah taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Bandar Al Muktafi Billah Shah di Dungun turut ditutup setelah seorang kakitangannya disahkan positif wabak tersebut.
— BERNAMA