Home Nasional Bekalan air dijangka ambil masa untuk pulih – Air Selangor

Bekalan air dijangka ambil masa untuk pulih – Air Selangor

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sehingga jam 3 petang ini, bacaan di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih adalah 7 Ton dan di LRA Bukit Tampoi 9 Ton.

Berikutan itu, kedua-dua loji rawatan itu belum boleh beroperasi, kata Pengurusan Air Selangor (Air Selangor).

Jam 12.30 tengah hari tadi, Air Selangor memaklumkan pencemaran masih lagi dikesan di Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan dan berada pada tahap 18 Ton.

Henti tugas di LRA berkenaan menyebabkan Air Selangor tidak dapat menghasilkan air sebanyak 602 juta liter sehari untuk dibekalkan kepada para pengguna di 274 kawasan dan gangguan bekalan air tidak berjadual dijangka akan mengambil masa yang lama untuk pulih sepenuhnya kerana kedua-dua loji telah dihenti tugas selama 20 jam.

Sejak jam 8.00 pagi tadi, Air Selangor telah menggerakkan sebanyak 64 lori tangki air ke premis-premis kritikal, sekolah-sekolah serta kawasan perumahan yang terjejas.

Sebanyak 14 tangki statik, tujuh stesen pengisian setempat, 9 PKS dan 10 pili awam juga disediakan untuk kemudahan para pengguna yang terjejas.

Air Selangor menyarankan kepada pengguna-pengguna untuk mengambil bekalan air bersih di pili-pili awam kerana bantuan melalui lori-lori tangki air adalah diutamakan kepada premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.

Para pengguna juga boleh mendapatkan maklumat dan bantuan bekalan air bersih di Pusat Khidmat Setempat yang telah disediakan. – MalaysiaGazette