Home Nasional KKM sahkan individu hadiri mesyuarat di JPM positif Covid-19

KKM sahkan individu hadiri mesyuarat di JPM positif Covid-19

Prevalens A701V dalam kalangan kes gelombang ketiga ialah 86 peratus manakala D614G ialah 100 peratus.- Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat seorang individu yang menghadiri satu mesyuarat di Jabatan Perdana Menteri pada 3 Oktober lalu telah disahkan postif Covid-19.

Individu itu kini dimasukkan ke hospital untuk tujuan pengasingan, pemerhatian dan rawatan.

Katanya, beliau tidak mengalami sebarang gejala jangkitan ketika menghadiri mesyuarat berkenaan.

Beliau telah dimasukkan ke hospital untuk pengasingan, pemerhatian dan rawatan mengikut protokol sedia ada bagi kes disahkan positif Covid-19.

Pengesanan dan siasatan kontak kepada individu sedang dijalankan, termasuk saringan gejala dan pengambilan swab bagi pengesanan jangkitan pandemik berkenaan.

Kontak rapat yang telah dikenal pasti telah diberikan Surat Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) selama 14 hari dari tarikh akhir pendedahan (kontak).

Tambahnya, semua yang hadir ke mesyuarat tersebut juga telah menjalani saringan kesihatan hari ini dan mereka yang dikenal pasti kontak rapat semasa mesyuaratt telah diberikan HSO selama 14 hari dari tarikh 3 Oktober 2020 dan dipakaikan gelang pengawasan.

Manakala ahli mesyuarat yang lain pula yang bukan merupakan kontak rapat dikehendaki memantau status kesihatan kendiri (self-health monitoring) di rumah setiap hari selama 14 hari dengan menggunakan home assessment tool (HAT) dalam aplikasi MySejahtera.

“Mereka telah dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami gejala semasa dalam tempoh pemantauan tersebut.

“KKM ingin memohon orang ramai agar tidak khuatir dengan kejadian ini dan tidak membuat sebarang spekulasi. Orang ramai akan dimaklumkan mengenai status jangkitan COVID-19 di Malaysia dari semasa ke semasa secara kenyataan media rasmi KKM.

“Maklumat lanjut boleh diperolehi dari laman sesawang KKM: http://covid-19.moh.gov.my,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malaysia Gazette hari ini melaporkan semua menteri Kabinet menjalani ujian saringan Covid-19 selepas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dikhabarkan positif Covid-19.

Beliau telah menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara pada 3 Oktober lalu.- MalaysiaGazette