KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) mengingatkan semua petugas media yang baru pulang dari kawasan berisiko atau bergejala untuk segera menjalani saringan Covid-19 di hospital dan mematuhi arahan kuarantin wajib.
Presidennya, Farah Marshita Abdul Patah turut mengingatkan petugas media supaya sentiasa memakai pelitup muka ketika membuat liputan dan menggunakan cecair pembasmi kuman serta sentiasa menjaga kebersihan diri.
Mereka juga perlu sentiasa berhati-hati ketika menjalankan tugas dan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
“Ingat, bahawa kita semua adalah petugas barisan hadapan dan setiap daripada kita mempunyai peranan penting dalam menyampaikan maklumat kepada orang ramai dan menjaga negara.
“NUJM akan sentiasa bersama semua petugas media dalam memerangi COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – MalaysiaGazette