PETALING JAYA – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengesahkan bahawa kesemua 21 pasukan telah berjaya melengkapkan penswastaan kelab bola sepak (FC).
Ia merangkumi proses pemisahan daripada persatuan bola sepak (FA).
Ia membabitkan sembilan pasukan yang sebelum ini dinyatakan masih dalam proses melakukannya sebelum 30 September lalu iaitu Selangor FA, Kelantan FA, Pahang FA, Pulau Pinang FA, Kedah FA, UiTM FC, PDRM FA, Felda United FC dan UKM FC.
Pengerusi Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional FAM, Mohd Firdaus Mohamed berkata, kesemua pasukan menyerahkan dokumentasi sebelum tarikh akhir, meskipun dokumen yang dihantar oleh dua pasukan iaitu Felda United FC dan UKM FC terpaksa melalui proses penelitian lanjut mengenai kedudukan semasa dan kewangan.
“Proses penswastaan ini termasuk pemisahan FA ke FC perlu dilakukan oleh semua pasukan CIMB Liga Super 2021 dan Liga Premier 2021 supaya mereka dibenarkan beraksi pada saingan peringkat AFC, sama ada Liga Juara-Juara AFC 2021 atau Piala AFC 2021, jika layak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Firdaus, projek penswastaan FA ke FC telah ditangguh pada 2013 dan pada 9 Ogos 2017 pihaknya menerima arahan AFC untuk menjalankan proses pemisahan bagi memenuhi keperluan AFC untuk musim 2021.
Tambah beliau, proses dokumentasi penswastaan serta pemisahan daripada FA ke FC intu adalah fasa pertama penswastaan.
“Bagi fasa kedua selepas ini, kesemua pasukan diminta untuk menghantar kedua-dua carta organisasi pengurusan bagi FA dan FC masing-masing, berserta juga kurikulum vitae (CV) setiap individu yang terlibat selewat-lewatnya pada 30 November 2020.
“Ini bagi memastikan pemisahan pengurusan dapat dilaksanakan sepenuhnya yang mana barisan pengurusan FA dan FC mereka itu perlu diisi oleh individu berbeza,” jelas beliau. – MalaysiaGazette