MEXICO CITY – Pihak berkuasa Mexico menemui 12 mayat lelaki dan wanita yang ditinggalkan di dalam sebuah van di pinggir kawasan di San Luis Potosi.
Kawasan itu adalah lokasi kegiatan kartel dadah.
Pejabat Peguam Negara San Luis Potosi berkata, ada mesej bertulis daripada organisasi jenayah yang ditemui di sebelah mayat-mayat tersebut.
Namun beliau tidak mendedahkan isi kandungan mesej berkenaan.
Malah, punca kematian mangsa-mangsa tersebut tidak diketahui.
Beberapa geng jenayah terancang beroperasi di negeri ini, termasuk Zetas dan Jalisco New Generation Cartel yang cukup berpengaruh.
Antara Januari dan Ogos tahun ini seramai 411 orang dibunuh di San Luis Potosi, menurut data rasmi – kenaikan 43% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Kerajaan Mexico tidak berjaya dalam usahanya selama lebih dari satu dekad untuk menangani kekerasan kartel. – MalaysiaGazette