KUALA LUMPUR – Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) memberi jaminan tidak akan menimbulkan sebarang provokasi sekiranya pemaju hartanah berstatus Tan Sri tidak mendirikan pagar di sekeliling Medan Selera Kuchai Lama, di sini.
Malah perkara itu telah dipersetujui pihaknya dengan pemaju hartanah terbabit bagi mengelakkan pergaduhan tercetus susulan pemilik tanah baharu itu cuba mendirikan pagar sejak dua hari lalu walaupun perkara itu dalam siasatan polis.
“Tadi Ketua Balai Polis sudah panggil (Brickfield) kita sudah bincang kedua-dua pihak, antara pihak NGO dan pihak Tan Sri ini.
“Pihak polis pun nasihat jangan buat apa-apa lagi (pagar) semua kena dihentikan. Pihak di sebelah ini pun tidak ada apa-apa provokasi.
“Kita berterima kasih dengan pihak polis beri kerjasama cukup baik, tidak wujud apa-apa suasana tegang ataupun pergaduhan,” katanya ketika ditemui di Medan Selera Kuchai Lama, Jalan Klang Lama, hari ini.
Semalam IKHLAS bersama Gabungan NGO Malaysia menyerahkan memorandum dan dokumen didakwa dokumen mengaitkan seorang pemaju hartanah berstatus Tan Sri yang didakwa membeli tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Individu itu didakwa telah membeli tanah yang belum dipindah hak milik sepenuhnya kepada DBKL dengan nilai RM14 juta iaitu lebih rendah dari harga pasaran semasa berjumlah RM80 juta.
Selain itu, kata Mohd Ridzuan, pemaju hartanah itu juga berjanji akan menemui kesemua peniaga terbabit dalam penutupan Medan Selera Kuchai Lama itu dalam masa terdekat.
“Dalam masa terdekat ini Tan Sri sendiri akan berjumpa dengan pihak peniaga untuk selesaikan masalah dari segi pampasan,” katanya.
Terdahulu, sekumpulan NGO bertembung dengan beberapa wakil pemaju hartanah itu yang cuba memasang pagar didakwa bertujuan menutup operasi medan selera yang dikatakan sudah bertukar tangan.
Bagaimanapun beberapa anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfield berjaya meredakan keadaan dan berjaya menghalang pergaduhan berlaku.
Inisden itu berlaku selepas Mohd Ridzuan pada awalnya menerima panggilan telefon daripada peniaga-peniaga kecil di situ bahawa medan selera itu akan dipagar oleh pihak pemaju.
“Saya terima panggilan peniaga-peniaga di sini berasa trauma dalam ketakutan tiba-tiba pemaju nak pagar kawasan ini.
“Kalau berlaku pergaduhan siapa nak bertangungjawab?” katanya.
Mohd Ridzuan turut meminta Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa untuk campur tangan dalam perkara itu.
“Tan Sri Annuar Musa tolong bela rakyat, saya tahu Tan Sri ini bapa kepada penjaja.
“Tolong bantu kami kenapa hari ini kita dimangsakan, orang lain jadi kaya raya dalam isu ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette