KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui kempen semasa pilihan raya negeri (PRN) Sabah merupakan antara punca peningkatan kes Covid-19 kebelakangan ini.
Katanya, PRN tidak dapat dielakkan apabila Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sabah membubarkan Dewan Undangan Negeri pada 30 Julai lalu.
Bagaimanapun, Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan prosedur standard operasi (SOP) bagi mengelakkan penularan virus berlaku ketika proses kempen dan hari mengundi namun tidak dipatuhi.
“Misalnya penjarakan sosial. Ketika saya turun berkempen di banyak tempat, saya lihat SOP mengenai penjarakan sosial agak kurang dipatuhi. Walaupun hampir keseluruhan memakai pelitup muka, tetapi masih ramai yang duduk dekat-dekat dalam keadaan yang agak sesak.
“Sehinggakan saya terpaksa membuat SOP saya sendiri. Saya datang dengan kereta terus ke pentas tanpa melalui khalayak ramai. Ketika mula berucap, saya peringatkan semua yang hadir supaya patuhi SOP yang ditetapkan. Duduk jangan rapat-rapat, pakai pelitup muka dan sentiasa basuh tangan atau gunakan sanitizer. Setelah habis berucap, saya terus masuk kereta dan meninggalkan tempat ceramah. Dengan itu, saya tidak bersalam atau menyentuh sesiapa.
“Saya juga mengingatkan pegawai-pegawai saya supaya tidak mengatur kempen saya di kawasan Zon Merah. Walaupun menerima undangan, saya terpaksa tolak dengan baik. Ya, kalau diikutkan saya ingin berkempen di semua tempat. Tetapi saya juga memikirkan tentang kesihatan dan keselamatan orang ramai yang hadir ke tempat-tempat berkempen, pegawai-pegawai saya dan diri saya sendiri.
“Namun, hakikatnya telah ada mereka yang dijangkiti Covid 19 ketika berada di negeri Sabah. Ini sesuatu yang amat mendukacitakan kita,” katanya semasa perutusan khas mengenai Covid-19 hari ini.
Menurut Muhyiddin, penyumbang kepada peningkatan kes baharu Covid-19 pada masa ini mempunyai kaitan dengan kes di Sabah dan Kedah yang mana di Sabah, sebahagian besarnya berpunca daripada Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dari negara jiran yang merebak selepas mereka ditahan di pusat tahanan.
Perkara yang hampir sama juga berlaku di Kedah apabila virus tersebut sebahagian besarnya merebak dalam kalangan tahanan penjara selain kewujudan kluster-kluster baharu dalam komuniti.
Tambah beliau, Malaysia ketika ini adalah lebih bersedia menghadapi pandemik berbanding pada awal tahun ini.
Katanya, negara kini lebih berpengalaman dan mempunyai lebih tenaga kerja berbanding dahulu.
“Kita sekarang sudah mengetahui sifat virus tersebut dengan lebih baik dan kita juga mempunyai kemudahan serta peralatan yang mencukupi.
“Apa yang kita perlukan sekarang adalah usaha untuk memutuskan rantaian penularan virus yang mana cara terbaik adalah duduk di rumah terutamanya di kawasan-kawsasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar.
“Kita perlu melandaikan semula lengkung yang mana kita pernah berjaya dahulu dan saya sangat yakin kita akan boleh lakukannya sekali lagi,” katanya. – MalaysiaGazette
Elok la cermin diri tu… Letak jawatan laa klu rasa ada integriti… PM paling lemah dlm sejarah..
komen mcm xde otak
Bala kerana GELOJOH KUASA !!