MELAKA – Maklumat tidak sahih dan tidak tepat yang tular di media sosial berkaitan COVID-19 di Melaka pada minggu lepas antara punca utama menyebabkan jumlah pelancong ke negeri itu terkesan, sekali gus menjejaskan sektor pelancongannya.
Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhamad Jailani Khamis berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu secara tidak langsung telah menimbulkan rasa panik dalam kalangan rakyat tempatan dan pelancong domestik untuk berkunjung ke Melaka.
Beliau berkata situasi itu turut memberi kesan pada pendapatan negeri dan rakyat yang sebahagian besarnya disumbangkan oleh sektor berkenaan.
“Masalahnya tular yang bukan-bukan antaranya kes positif COVID-19 melibatkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang balik dari Sabah dan dikaitkan dengan aktiviti sanitasi yang dilakukan di Seri Negeri,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan promosi ‘Oktober 2020 Frontliners dan Keluarga Anda Dihargai’ di atas Kapal Mendam Berahi di sini, Selasa malam.
Mengulas lanjut, Muhamad Jailani berkata kerajaan negeri sentiasa memastikan proses nyah cemar dan pembersihan dilaksanakan secara berkala di semua destinasi dan tempat tumpuan pelancong di negeri ini bagi mengekang penularan COVID-19.
“Jadi pelancong tidak perlu bimbang untuk bercuti di Melaka dan kami jamin keselamatan dan kebersihan destinasi atau produk pelancongan di Melaka. Kami berharap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dipatuhi masyarakat,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata diskaun harga tiket sebanyak 50 peratus menaiki Melaka River Cruise diberikan kepada petugas barisan hadapan dan lima ahli keluarga mereka sepanjang Oktober.
Promosi itu melibatkan tiket masuk bagi dewasa iaitu RM12.50 (harga asal RM25) dan kanak-kanak RM7.50 (harga asal RM15).
Potongan 50 peratus juga diberikan untuk sewaan bot melibatkan 25 penumpang pada harga selepas diskaun iaitu RM500 bagi bot MRC dan Kapal Mendam Berahi (RM750) manakala bot Mawar yang mampu menampung 14 penumpang (RM600).
“Promosi ini diberikan bagi menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus membantu mengekang penularan COVID-19 di negara ini selain untuk menarik lebih ramai pengunjung menaiki bot MRC,” katanya.
Terdahulu, pada majlis itu, 60 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari seluruh negara kecuali Sabah menelusuri Sungai Melaka menaiki MCR.
— BERNAMA