KUALA LUMPUR – “Tolong sentiasa ingat sebarang panggilan dari polis, pegawai bank atau sebagainya hanyalah membabitkan panggilan rasmi meminta temu janji anda ke premis atau balai polis sahaja.
“Sekiranya sesiapa yang menghubungi menerusi telefon dan menggelar diri sebagai polis atau pegawai mana-mana institusi kewangan atau mahkamah dan meminta anda nombor akaun dan memindahkan wang tunai kerana bersangkut dengan kes waran tangkap, itu adalah penipuan Macau Scam atau Akaun Mule (keldai akaun).”
Itu maklumat penting yang disampaikan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.
Menurutnya, masyarakat tidak seharusnya panik apabila menerima panggilan sebegitu dan terus menurut kehendak sindiket penipuan atas talian tanpa berfikir dengan tenang.
“Panggilan telefon hanya digunakan oleh pihak berkuasa polis, mahkamah, SPRM, Bank Negara atau seumpamanya untuk tujuan memanggil anda hadir ke pejabat masing-masing.
“Tiada kes pegawai menelefon orang ramai dan mendakwa terlibat dalam kes wang haram, kemalangan jalan raya atau kes penerimaan bungkusan bahan mencurigakan dan minta nombor akaun bank, kata kunci, atau nombor pin transaksi online (OTP) termasuk dalam telefon anda..
“Jika berdepan situasi sedemikian sila abaikan panggilan itu segera dan jangan mengambil remeh dan sembunyi insiden itu kerana takut malu,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Seminar Pengukuhan Siasatan Jenayah Komersial dan Portal serta Aplikasi Semak Mule (akaun keldai) di Maktab PDRM Cheras hari ini.
Untuk rekod sepanjang tahun 2019, sebanyak 28,508 kes penipuan atas talian dilaporkan membabitkan 18,130 akaun keldai dengan jumlah kerugian RM2.477 bilion berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 23,788 kes membabitkan 13,513 akaun keldai melibatkan kerugian berjumlah RM2.826 bilion.
Kebanyakan mangsa penipuan hanya sedar setelah mereka selesai melakukan transaksi pembelian atau urusniaga e-dagang dalam talian tanpa semakan rasmi terlebih dahulu akaun-akaun bank yang pernah dilaporkan terbabit dalam kes penipuan atau sebaliknya disebabkan beban kos dan masa perjalanan ke balai polis berhampiran.
Mengambil kira faktor berkenaan, katanya, JSJK Bukit Aman mengambil inisiatif membangunkan aplikasi mudah alih Semak Mule yang dilancarkan Januari 2019 yang memudahkan rakyat menyemak akaun bank atau nombor telefon yang bersangkut dengan jenayah secara sahih mengelak terjebak dalam sindiket itu semasa transaksi perbankan internet.
Sehingga kini sembilan juta pelawat mengakses portal selain 120,000 pengguna telah memuat turun aplikasi berkenaan dalam Google Play Store dan ia dijangka terus meningkat selepas ini.
Ujar beliau mangsa yang terpedaya kebanyakannya berusia 50 tahun dan ke atas sehingga kehilangan wang simpanan mereka hingga mencecah jutaan ringgit.
Jelas lanjut, rakyat juga tidak seharusnya mendiamkan diri sekiranya tertipu dalam transaksi di talian e-dagang akaun keldai.
“Bukan sahaja kerugian ribuan dan juta ringgit, oleh kerana ada kerugian yang kecil sekitar RM400 hingga RM800 juga terdapat sebilangan besar mangsa tidak cenderung tampil melaporkan kepada polis sekaligus menjadi kekangan untuk polis menjejaki akaun palsu sindiket penipuan.
“Sekiranya mangsa berfikiran demikian, polis tidak akan dapat kemaskini nombor scammer atau akaun keldai yang disyaki melakukan penipuan itu untuk tindakan tegas undang-undang apatah mereka akan bertambah berani melakukan jenayah itu secara meluas dan membabitkan lebih ramai mangsa,’ katanya.
Beliau juga menegaskan peruntukan hukuman dan denda untuk kesalahan penipuan wang adalah tinggi dan memadai untuk menghukum sindiket scam itu dan tidak memerlukan penambahan.
Menurutnya, sistem portal dan aplikasi Semak Mule (Keldai Akaun) PDRM berkenaan terjamin selamat mengelak digodam sindiket atau scammer.
Beliau mengakui dunia globalisasi kemajuan digital atas talian menyumbang kepada jenayah siber tanpa sempadan yang lebih sofistikasi dan komplikasi menjadikan lebih mencabar berbanding jenayah konvensional.
“Portal ini dikemaskini sejak Januari 2019 dengan segala maklumat mengenai nombor keldai akaun, penipuan scam siber.
“Sistem teknologi perkomputeran kami terletak dalam rnagka utama PDRM dan bersiap sedia dengan langkah-langkah mencegah digodam individu jenayah siber serta kita mampu mencegahnya,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette