Home Nasional Polis siasat pengguna FB aib gambar KP Kesihatan

Polis siasat pengguna FB aib gambar KP Kesihatan

Gambar Noor Hisham yang tular di media sosial itu diedit seolah-olah Ketua Pengarah Kesihatan itu dengan posisi duduk di kerusi kononnya mengendalikan sidang media langsung mengenai Covid-19 dari rumah dengan berkot hitam tanpa berseluar panjang.

KUALA LUMPUR – Polis telah memulakan siasatan berhubung penularan gambar Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah yang diaibkan di media sosial.

Timbalan Pengarah Siasatan dan Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya telah menerima satu laporan polis berhubung penularan gambar yang diedit oleh individu tidak bertanggungjawab itu.

“Satu laporan polis dibuat di Senawang, Seremban, Negeri Sembilan hari ini. Kertas siasatan telah dibuka dan polis sudah mulakan siasatan mengenai kes perbuatan itu berdasarkan laporan polis yang diterima.

“Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan menyiasat kes di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia,” katanya kepada MalaysiaGazette malam tadi.

Gambar Noor Hisham yang tular di media sosial itu diedit seolah-olah Ketua Pengarah Kesihatan itu dengan posisi duduk di kerusi kononnya mengendalikan sidang media langsung mengenai Covid-19 dari rumah dengan berkot hitam tanpa berseluar panjang.

Gambar itu ditularkan oleh seorang pengguna dan pemilik akaun Facebook yang tidak bertanggungjawab yang disyaki bermotifkan lawak  tetapi dikecam warga netizen sebagai tindakan biadab, memperlekeh dan menghina imej pegawai kanan Kementerian Kesihatan Malaysia yang mengetuai barisan hadapan petugas kesihatan dalam mencegah Covid-19 sejak Mac lalu.

Gambar itu ditularkan oleh akaun Facebook bernama MGAG dengan tertera perkataan work from home vibes”..meme by Cho Jun Yang. DG Hisham doing live broadcast from quarantine.

Insiden itu berlaku semalam sekitar jam 5.45 petang ketika Noor Hisham sedang menyampaikan perkembangan terkini kes Covid-19 secara FB Live kerana terpaksa menjalani kuarantin kendiri di kediamannya.

Pihak bertanggungjawab itu yang menggunakan akaun Facebook bernama Cho Jun Yang itu juga telah menerima kecaman pelbagai pihak atas perbuatan tidak beretika itu sebelum memohon maaf secara terbuka.

Semalam sekitar 7 malam, pemilik akaun bernama Cho Jun Yang memuat naik teks memoho maaf atas kesilapannya kerana membuat lawak hambar Noor Hisham tidak pakai seluar semasa membuat siaran langsung.

Individu itu mendakwa dia tidak berniat menghina namun hanya membuat demikian untuk mengurangkan ketegangan ekoran penularan Covid-19 di negara ini.

Namun warga netizen mahu tindakan laporan polis dan siasatan undang-undang diambil ke atas pelaku itu.

Seorang pemegang akaun Facebook, Zuhairi Ali dalam ruang komen turut menegur perbuatan tidak bertanggungjawab individu itu.

“Kamu patut kena ajar supaya lain kali guna otak sebelum buat sesuatu yang bodoh. Maaf tu  tak penting. Ia untuk diri kamu saja, bukan untuk memadamkan kebodohan.” komennya.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.