Saudara pengarang,
Sepertikebanyakan rakyat Malaysia yang lain, saya turut mengikuti perutusan khas Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disiarkan secara langsung pada Selasa lepas. Saya juga mengikuti reaksi orang ramai, terutamanya komen-komen di laman sosial.
Ada komen yang menyambut baik saranan dan nasihat Perdana Menteri dan ada juga yang sinikal serta memperlekehkan pengumuman tersebut. Ada sesetengah pengguna media sosial yang kurang selesa dengan kenyataan Perdana Menteri untuk “merotan” mereka yang melanggar SOP Covid-19.
Bagi saya, tiada apa pun yang lucu apabila Muhyiddin menyebut mengenai ‘rotan’ ketika beliau menegaskan hukuman akan dikenakan tanpa mengira pangkat dan darjat terhadap mana-mana individu yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Saya melihat ia cara Perdana Menteri untuk menyampaikan perutusan kepada semua lapisan rakyat, termasuk menggunakan analogi yang mudah dan senang difahami supaya mesej sampai dengan berkesan kepada kumpulan sasaran.
Rakyat kita bukan ada di ibu kota atau bandar-bandar besar sahaja, bukan setakat golongan elit atau moden yang hidup di kota, tetapi juga rakyat yang tinggal di pedalaman, luar bandar dan desa.
Saya secara peribadi terkesan dengan perutusan Perdana Menteri semalam, nada beliau ketika menyampaikan ucapan didengar seperti satu rayuan tetapi masih dalam ketegasan, sesuai dengan keadaan semasa penularan kes Covid-19 di negara kita.
Muhyiddin turut mengakui Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebagai antara punca penularan terkini dalam kes Covid-19, tidak berselindung atau ‘mengunci mulut’ membiarkan isu itu berlalu begitu sahaja.
Mengikut Perlembagaan negara, PRN itu terpaksa diadakan selepas bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menasihatkan Yang di-Pertuan Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin supaya membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Mengikut undang-undang, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tiada pilihan kecuali mengadakan PRN berkenaan dalam tempoh 60 hari selepas suruhanjaya itu menerima notis memaklumkan kekosongan DUN.
PRN itu boleh sahaja dielakkan andai Shafie ketika itu mengaku beliau sudah tidak mendapat kepercayaan DUN, sekali gus akan membolehkan peralihan kuasa berjalan dengan aman.
Peralihan kuasa sedemikian bukan tidak pernah berlaku, terbaru adalah di Melaka dan Kedah pada awal tahun ini dan sebelum itu di Perak pada 2009.
Sebab itu, saya rasa tidak wajar Perdana Menteri dipersalahkan atas perbuatan atau tindakan orang lain.
Ada juga yang menuduh Majlis Keselamatan Negara (MKN) melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) untuk kempen PRN Sabah, tetapi bagi saya, ia tuduhan yang tiada berasas kerana tiada pun kelonggaran sedemikian diberikan.
Sebaliknya, dari semasa ke semasa, ada sahaja peringatan demi peringatan diberikan oleh pihak berwajib kepada penduduk Sabah dan jentera kempen pilihan raya supaya mematuhi SOP yang ditetapkan.
Saya juga tidak menafikan pemimpin politik perlu turut mengambil tanggungjawab dalam penularan jangkitan, tetapi tidak wajar rasanya meletakkan tanggungjawab itu kepada menteri atau pemimpin kerajaan sahaja kerana kempen di Sabah juga dihadiri pemimpin pembangkang.
Seperti dilaporkan media atau portal dalam talian, hanya seorang menteri disahkan positif Covid-19 setakat ini bersama dua ADUN Pakatan Harapan (PH) dari Lembah Klang, manakala pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Klang ditutup selepas kakitangannya juga dijangkiti.
Kini, semua mesti tahu keutamaan atau prioriti kita, jangan buang masa untuk terus cari kesalahan atau menuding jari.
Mohd Hidayat Samad
Bandar Sri Damansara