
LONDON – Penduduk sebuah pangsapuri di Brentford, barat London gempar apabila sepasang suami isteri warga Malaysia bersama anak mereka berusia tiga tahun ditemui mati.
Pasangan yang disifatkan bahagia oleh jiran tetangga sebelum ini dikatakan sering bertengkar sejak penularan Covid-19.
Laporan media menyatakan Poorna Kaameshwari Sivaraj, 36, serta anak lelakinya, Kailash Kuha Raj ditemukan mati dan polis percaya kedua-duanya sudah meninggal dunia sejak beberapa hari lalu.
Malah terdapat laporan media yang menyatakan mereka telah meninggal dunia dua minggu lepas berdasarkan keadaan mayat yang telah reput.
Turut ditemukan mati ialah anjing peliharaan pasangan itu dalam kediamannya.
Suami wanita itu, Kuha Raj Sithamparanathan, 42, pula ditemukan cedera parah di kondominium berkenaan sebelum meninggal dunia.
Polis mendakwa Kuha mencederakan dirinya sendiri ketika pasukan keselamatan itu tiba dan cuba masuk ke dalam rumah mangsa.
Kehilangan ibu dan anak itu menimbulkan kerisauan kepada keluarganya menyebabkan mereka menghubungi polis pada Ahad lalu.
Ketika polis pergi ke rumah Poorna mereka dimaklumkan oleh jiran bahawa wanita itu dan anaknya sudah lama tidak kelihatan.
Mengesyaki sesuatu tidak kena polis memecah masuk kediaman pasangan berkenaan.
Jurucakap polis, Simon Harding berkata, mereka akan menyiasat insiden tersebut sebagai kes pembunuhan, termasuk kematian suami Poorna.
“Siasatan awal menunjukkan Poorna dan anak lelakinya hilang sejak 21 September lalu. Kami akan meneliti semua aspek yang boleh dikaitkan dengan kes tersebut,” katanya kepada pemberita.
Proses bedah siasat mayat pasangan itu dan anak mereka akan bermula hari ini.
Pasangan itu berkahwin di Kuala Lumpur pada 2015 sebelum berhijrah ke London. – MalaysiaGazette