Home Nasional Selangor beri kerjasama pastikan rakyat terpelihara daripada Covid-19

Selangor beri kerjasama pastikan rakyat terpelihara daripada Covid-19

Datuk Seri Amiruddin Shari

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Selangor akan bekerjasama sebaik mungkin dengan semua agensi dalam usaha memastikan kesejahteraan rakyat di negeri itu terpelihara daripada penularan Covid-19.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari berkata, kerajaan negeri akan terus mengadakan saringan bersasar Covid-19 ke zon merah sebagai langkah lanjutan untuk mengawal perebakan wabak tersebut.

Katanya, kerajaan Selangor telah menyampaikan segala maklumbalas dan cadangan berkaitan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dengan beberapa ubah suai kepada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersama Perdana Menteri secara dalam talian menerusi telesidang yang berlangsung pukul 11 pagi tadi.

“Untuk penyelarasan dan keseragaman informasi, Majlis Keselamatan Negara di bawah Kerajaan Persekutuan akan mengumumkan perincian perlaksanaan PKPB Klang dan kerajaan negeri akan bekerjasama sebaik mungkin dengan semua agensi bagi memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau, langkah itu diputuskan selepas mendapat maklumbalas daripada pelbagai agensi dan jabatan sewaktu Mesyuarat Penyelarasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Daerah Klang yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd. Amin Ahmad Ahya, yang berlangsung pagi tadi. – MalaysiaGazette