KUALA LUMPUR – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah meluluskan sebanyak 207 daripada 221 permohonan pengembara perniagaan sejak One-Stop-Centre (OSC) mula beroperasi 22 Oktober lalu.
OSC merupakan komitmen kerajaan untuk memastikan Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan langsung asing.
Ia akan menilai dan meluluskan permohonan oleh pengembara-pengembara perniagaan yang layak untuk memasuki Malaysia bagi tujuan pelaburan dan perdagangan.
Pengembara ini akan diminta untuk menunjukkan bukti kepatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan syarat-syarat yang diperlukan seperti langkah-langkah kuarantin yang ditetapkan kerajaan.
”Walaupun tujuan utama OSC adalah untuk memudahkan pelancong perniagaan yang tulen, langkah-langkah ini dilaksanakan demi memelihara, melindungi dan menjaga kesihatan dan keselamatan rakyat Malaysia,” katanya.
OSC dikendalikan oleh MIDA dengan wakil dari Jabatan Imigresen, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk memastikan kesahihan dan status kesihatan pengembara perniagaan sebelum masuk ke Malaysia.
Pusat ini akan memainkan peranan penting dalam memastikan Malaysia berada pada kedudukan sebenar untuk pemulihan ekonomi dan pertumbuhan, dengan membolehkan
pegawai eksekutif dan penting datang dan bekerja di negara ini. – MalaysiaGazette