Home Pendapat Mampukah anda bina vaksin diri?

Mampukah anda bina vaksin diri?

Anggota Polis Daerah Tawau membuat sekatan jalan raya bagi mengekang penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di laluan jalan Tawau ke Semporna, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 18 SEPTEMBER 2020.

BIASANYA orang yang terbiasa terjun sungai, sawah dan apabila berkawan dengan tanah ini, apabila dia terkena rumput sikit, kulit badannya tiada apa-apa yang berlaku.

Mereka yang asyik duduk di rumah, hidup di bandar dan diri dimanjakan sangat, apabila mereka terkena rumput sikit, kulitnya akan merah, timbul ruam atau dijangkiti virus.

Secara sedar tak sedar, badan kita sebenarnya sudah banyak kali diuji jangkitan virus yang dibawa oleh serangga ataupun dari orang yang sakit.

Contohnya selesema, batuk, gatal-gatal kulit dan kudis buta. Kita tak perasan, badan kita sendiri dapat melawan dan menangkis virus itu. Kita ada satu sistem ‘magis’, yang sainstis dan doktor istilahkan sebagai sistem imuniti badan.

Untungnya di Malaysia, sejak dari kecil kita semua sudah diberi vaksin secara percuma di klinik kerajaan. Kerajaan yang tanggung segala kos vaksin yang mahal itu.

Sebab itulah tidak hairan jika setiap kali dalam pembentangan bajet negara, Kementerian Kesihatan (KKM) terima peruntukan tertinggi.

Bagaimanapun wabak maut Covid-19 ini masih belum ada vaksin. Ia sangat mengerikan sebab ia musuh kita yang tak nampak.

Gambar virus yang selalu dilihat di media adalah gambar yang telah dibesarkan berpuluh-puluh atau beratus-ratus kali ganda
dari saiz asal.

Maka kita pun tak tahu di sekeliling kita sama ada orang di sebelah ada virus dan sudah dijangkiti ataupun tidak. Kita bernasib baik virus ini bukan virus bawaan melalui udara tetapi melalui sentuhan dan droplet, atau kata orang kampung –
tempias air liur. Atau orang Kelantan sebut, ‘percik air liur’.

Semua berharapkan vaksin ditemui, walaupun kita tahu denggi sebagai contoh sudah lebih 40 tahun menetap di Malaysia dan masih tak dijumpai vaksin sebagai penawar kepada demam denggi.

Untuk terus hidup, takkan kita perlu tunggu sehingga vaksin jumpa barulah kita jalani hidup seharian dengan normal?

Tak boleh begitu, kerana kehidupan masih diteruskan walau di sekeliling kita penuh dengan virus maut.

Oleh itu sesuailah “Abah”, Perdana Menteri Malaysia, Menteri Kesihatan, Ketua Pengarah Kesihatan selalu beri peringatan kepada kita semua (tak kira pemimpin atau rakyat) jangan alpa, jangan leka, seolah-olah tak takut maut.

Setiap orang wajib amalkan apa yang dipanggil norma baharu. KKM sudah gariskan norma-norma baharu itu, kita sekadar amalkan saja.

“Jika kamu mendengar taun di sesuatu tempat, jangan kamu pergi kepadanya. Jika berlaku di sesuatu tempat sedangkan kamu berada di situ, jangan kamu keluar daripadanya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ketua Pengarah Kesihatan pun setiap hari berpesan tak henti-henti kerana kita masih belum ada vaksin untuk wabak ini. Bukan pesan sekadar pesan tapi kerana kesihatan itu aset tak ternilai, nyawa masing-masing hanya satu.

Konsep stay at home sebenarnya masih relevan dan mungkin akan terus relevan. Kalau kita tiada keperluan mendesak, tak payahlah nak keluar rumah konon mahu menikmati keindahan sekeliling tetapi berapa ramai yang pilih selamat di rumah
dari terdedah wabak di luar?

Petua Elak 3S, Amal 3W juga berkesan untuk kita hentikan penularan virus ini.Tetapi berapa ramai yang hafal, hadam dan amalkan?

Kita perlu cuba elak 3S berikut :
1. Tempat sesak (crowded places),
2. Tempat sempit dan tertutup (confined spaces),
3. Sembang dekat (close conversation).

Kita juga kena amalkan 3W berikut :
1. Wash (cuci) – kerap cuci tangan,
2. Wear (pakai) – pakai pelitup hidung dan mulut,
3. Warn (amaran) – pantau dan saling mengingatkan ahli keluarga dan orang
lain mengenai amaran.

Dalam 3S, 3W ini, tempat sesak antara yang paling sukar untuk kita elak. Baik pemimpin, pekerja, baik orang ramai. Masing-masing terlupa (bahasa kasarnya ialah lalai, bahasa baku pula alpa).

Kalau kita tengok di media sosial, kita pergi di mana-mana rasanya ramai nampak ada saja orang yang suka ambil mud ah terhadap petua ini.

Pakai pelitup hidung dan mulut, tapi di dagu. Berjalan pula suka rapat-rapat, apatah lagi mereka yang sedang dilamun cinta asmara. Tak lupa juga ada yang cukup seronok pergi tempat sesak sambil bawa anak-anak kecil.

Hal ini berlaku di laluan pejalan kaki, stesen bas, LRT, pusat beli belah, restoran, mesyuarat-mesyuarat di sektor swasta dan kerajaan dan banyak lagi tempat. Rasanya masing-masing kita serba maklum.

Justeru, usah ditunggu kerajaan nak beli vaksin dari negara luar. Pada saat dan ketika ini, kitalah yang perlu bertindak menjadi frontliners dan menjadi ‘vaksin’ kepada diri sendiri.

Petua, arahan, saranan, teguran, nasihat dan panduan sudah diberi hari-hari oleh KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hampir tiap-tiap hari bertemu kita di media dan tv untuk ingatkan semua (semua di sini termasuklah golongan ahli politik, bangsawan, artis, usahawan dan rakyat marhaen).

Tapi, malangnya apa yang kita buat? Takkan hanya tahu berpeluk tubuh dan salahkan orang lain? 3S dan 3W adalah ‘vaksin’ kita. Ayuh, kita ‘vaksinkan’ diri sendiri.- MalaysiaGazette

Ibrahim Md Syukri
Penjawat Awam di Putrajaya