Home Politik Usul isytihar kerusi ADUN lompat parti kosong tidak akan dibentang

Usul isytihar kerusi ADUN lompat parti kosong tidak akan dibentang

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN – Usul khas bagi mengisytiharkan bahawa kerusi wakil rakyat yang melanggar undang-undang anti lompat parti sebagai kosong tidak akan dibentangkan pada sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang dijadualkan bermula Isnin ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata usul tersebut tidak akan diteruskan pada sesi persidangan akan datang berikutan situasi semasa COVID-19 serta kesan buruk yang dilihat berlaku selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang memberi impak kepada peningkatan kes COVID-19.

“Setelah banyak pertimbangan dibuat dalam masa yang mencabar ini, kerajaan negeri melihat bahawa kesihatan dan keselamatan awam rakyat mesti didahulukan. Sehubungan itu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam mesyuarat semalam telah memutuskan bahawa kita tidak akan meneruskan pembentangan usul ini pada persidangan yang akan datang,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini, Chow telah mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan membentangkan usul agar wakil rakyat mengosongkan kerusi mereka selepas melanggar undang-undang anti lompat parti negeri itu selaras dengan Seksyen 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Menurut Chow, pembentangan usul itu adalah inisiatif kerajaan negeri berdasarkan prinsip demokrasi bagi membolehkan ADUN berdebat sebelum sebarang keputusan dicapai.

Empat ADUN yang mengumumkan bahawa mereka telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Pakatan Harapan ialah Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifli Md Lazim (Teluk Bahang), kedua-duanya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), yang keahlian mereka digantung PKR.

Mengulas lanjut, Chow berkata kerajaan negeri yakin usul tersebut akan menjadi perhatian dan diperdebat secara meluas semasa persidangan itu yang dijadual berlangsung selama tujuh hari (sehingga 19 Okt) dan dijangka memperoleh majoriti kukuh.

“Kita yakin jika usul ini dibentangkan, pilihan raya kecil (PRK) perlu diadakan dalam masa 60 hari namun kerana situasi COVID-19 dan tidak mahu apa yang berlaku di Sabah berulang, usul ini ditangguhkan. Pembentangan usul ini akan diteruskan pada sesi DUN yang lain ketika keadaan yang lebih sesuai tanpa membahayakan kesihatan orang ramai untuk mengadakan PRK ,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata belum terdapat keperluan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar (PKPDB) di negeri itu kerana situasi COVID-19 masih terkawal.

“Majlis Keselamatan Negara akan menilai situasi dan seterusnya menasihatkan kerajaan negeri jika ada keperluan untuk melaksanakan PKPDB. Semua agensi di negeri ini sentiasa dalam keadaan bersiap sedia menjalankan tugas jika situasi COVID-19 semakin membimbangkan,” katanya.- BERNAMA