KUALA LUMPUR – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Banci 2020 Fasa Kedua (secara bersemuka) yang dirancang pada 7 hingga 24 Oktober 2020 telah dijadualkan semula kepada 20 Januari 2021 hingga 6 Februari 2021.
Oleh itu, kenyataan yang sedang tular melalui media sosial termasuk aplikasi whatsapp berkaitan ‘tiada lagi dibenar sebarang aktiviti Banci Secara Bersemuka dari rumah ke rumah oleh Kerajaan/Penyelia/ Pembanci sehingga hujung tahun 2020’ adalah kenyataan palsu.
Sehubungan itu, DOSM meminta semua pihak berhenti menyebarkannya serta-merta
Dengan penjadualan semula tersebut, Banci 2020 Fasa Pertama secara dalam talian (e-Census) telah dilanjutkan sehingga 21 Disember 2020 melibatkan strategi:
(i) Pra-pendaftaran bagi pengisian e-Census dibuka semula bermula 7 Oktober hingga 30 November 2020; dan
(ii) Poskad ID e-Census akan dihantar oleh pegawai-pegawai DOSM ke kawasan yang disasarkan.
DOSM berkata, meskipun berhadapan dengan situasi mencabar berikutan peningkatan penularan wabak Covid-19 dalam negara pada masa ini, pelaksanaan aktiviti di lapangan berkaitan Banci 2020 dan survei-survei rutin DOSM diteruskan dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang antaranya melibatkan edaran poskad ID e-Census, aktiviti bersama komuniti dan penganjuran klinik e-Census di lokasi-lokasi terpilih.
Oleh itu, DOSM menyeru agar orang awam dapat memberi kerjasama dalam menjayakan Banci 2020 dan survei yang dilaksanakan di samping mengambil langkah berjaga-jaga bersesuaian dengan situasi semasa.
Ini termasuk memanfaatkan Banci Dalam Talian (e-Census), penggunaan e-survei dan temuramah melalui telefon atau Computer Assisted Telephone Interview
(CATI).
DOSM menambah, keberhasilan daripada Banci 2020 dan perkhidmatan perangkaan ini merupakan bukti statistik yang digunakan oleh kerajaan dalam membuat keputusan berasaskan bukti bagi pembentukan, pelaksanaan, penilaian dan semakan semula dasar awam negara dalam memastikan tiada yang ketinggalan.
Untuk keterangan lanjut berkenaan Banci 2020, sila layari portal www.mycensus.gov.my atau hubungi Hotline Banci 2020 (1-800-88-7720). – MalaysiaGazette