Home Nasional Timbalan Pengarah Penguatkuasa JPJ Selangor antara 7penjawat awam direman rasuah

Timbalan Pengarah Penguatkuasa JPJ Selangor antara 7penjawat awam direman rasuah

SHAH ALAM – Seorang Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor merupakan antara tujuh individu yang direman selama enam hari bagi membantu siasatan menerima rasuah bulanan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pekerja warga asing dua tahun lalu.

Kesemua suspek yang terdiri daripada lima pegawai dan anggota polis termasuk seorang berpangkat Inspektor dan seorang lagi pegawai JPJ dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kompleks Mahkamah Shah Alam pada pagi tadi untuk permohonan reman.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Hanie Dzatul Akhmar Zulkefli terhadap ketujuh-tujuh penjawat awam tersebut yang berusia 32 hingga 55 tahun.

Terdahulu kesemua suspek dibawa oleh Penguatkuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menaiki tiga kenderaan dengan berpakaian baju lokap SPRM berwarna oren.

Mereka dipercayai ditahan SPRM pada pukul 4.30 petang hingga 8.50 malam tadi selepas memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM Selangor.

Menurut sumber, penahanan mereka adalah hasil siasatan lanjut terhadap empat suspek sebelum ini yang membabitkan pegawai  polis berpangkat Asisten Superintendan dan pemilik syarikat pembekal pekerja asing.

Siasatan awal mendapati ketujuh-tujuh suspek terlibat menerima rasuah bulanan antara RM500 hingga 5,000 daripada seorang wanita yang merupakan pemilik syarikat pembekal pekerja asing antara tahun 2018 hingga 2019.

Kesemua suspek dituduh menerima rasuah daripada wanita itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim menegaskan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Siasat dgn telus n adil, spya pjenayah mcn ini dpt hukuman stimpal ..penkhianat kpd amanh tidak blh di bg muka..

Comments are closed.