Home Ekonomi Ekuinal jual 100% kepentingan dalam Coolblog

Ekuinal jual 100% kepentingan dalam Coolblog

KUALA LUMPUR – Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) melupuskan keseluruhan kepentingan ekuitinya sebanyak 60% dalam peneraju penyedia pencuci mulut dan minuman tempatan, Coolblog Apps Sdn Bhd (Coolblog) kepada Archipelago Capital Partners (Archipelago), berdasarkan nilai ekuiti berjumlah RM75.0 juta.

Archipelago ialah firma pelaburan ekuiti persendirian yang melabur dalam pasaran syarikat kecil sehingga peringkat pertengahan yang memberangsangkan di Asia Tenggara, menumpukan kepada barangan dan perkhidmatan pengguna, perkhidmatan kewangan serta logistik dan perindustrian.

Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir berkata, pelaburannya dalam Coolblog sudah mencapai kematangan untuk dilupuskan, sebahagian daripada strategi pelaburan berhemat untuk menjaminkan Kadar Pulangan Dalaman (IRR) yang positif, sejajar dengan langkah kami untuk melupuskan aset-aset di bawah Ekuinas Direct (Tranche II) Fund.

Beliau menambah, Archipelago telah dipilih sebagai rakan pelaburan yang tepat untuk memajukan dan mempercepatkan prestasi Coolblog. Kami berbesar hati untuk Archipelago mengambil alih pengendalian pertumbuhan Coolblog di Malaysia dan seluruh rantau ini.

Pelupusan ini telah menjana Kadar Pulangan Dalaman (IRR) 6.4% yang bersamaan 1.4 kali modal dilaburkan.

Sepanjang tempoh pelaburan, Ekuinas telah berjaya menyempurnakan pelan penciptaan nilai mereka untuk syarikat ini. Fokus utama di dalam pelan tersebut
merangkumi memperkemaskan proses operasi dan sistem, pengembangan outlet korporat dan penembusan ke segmen pasaran massa baharu, serta peningkatan dalam penawaran produk dan strategi pemasarannya.

Coolblog adalah salah satu jenama pencuci mulut dan minuman dengan lebih 270 cawangan di Malaysia, menawarkan lebih 25 perisa dan 300 produk berbeza.

Syed Yasir berkata, Ekuinas memulakan pelaburan di Coolblog pada tahun 2014 dan perniagaan ini telah menunjukkan trajektori pertumbuhan yang sihat disokong dengan rekod pencapaian yang terbukti.

Hasil jualan meningkat daripada RM34.0 juta ke RM46.9 juta dari Tahun Kewangan (TK) 2017 ke TK2019 dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 17.4% didorong oleh pertumbuhan dan prestasi outlet yang lebih kukuh di seluruh negara, diiringi dengan penawaran produk yang inovatif dan berjaya.

Selama beberapa tahun, Ekuinas telah bekerjasama dengan Coolblog dalam membantu usahawan Malaysia dan Bumiputera menjadi pemilik perniagaan dan mencipta pendapatan yang mampan melalui model francais Coolblog. Sehingga pertengahan Jun 2020, Coolblog mempunyai 195 pemegang francais, 109 daripadanya adalah milik Bumiputera. – MalaysiaGazette