KUALA LUMPUR – Seramai 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dicekup dalam Op Benteng yang dilakukan oleh Pasukan Rejimen Pertama Kor Armor Diraja (1 K-A-D), pagi tadi.
Dalam satu kenyataan, Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia Kem Terendak, Melaka memaklumkan, dalam serbuan pukul 6.30 pagi itu, tujuh lelaki dan empat wanita berusia 23 hingga 45 tahun ditahan ketika sedang bersembunyi dalam hutan berhampiran pesisir Pantai Logok, Felda Tenggaroh.
“Kesemua PATI ditahan dan dibawa ke Pos Tuan Sheh untuk dibuat pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia.
“Laporan Polis telah dibuat di Balai Polis Sedili,” demikian menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu lagi, nilai rampasan keseluruhan yang diperoleh daripada PATI terbabit dianggarkan berjumlah RM6,119.21 dan ia melibatkan wang tunai sebanyak RM1,120 dan Matawang Indonesia IDR 5,067,600.00 (RM 1,432.21) serta tujuh buah telefon bimbit. – MalaysiaGazette