KUALA LUMPUR – Kerajaan telah memperuntuk sejumlah RM1.8 bilion untuk pelaksanaan inisiatif-inisiatif yang terkandung di bawah Strategi Keselamatan Siber Negara 2020-2024.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peruntukan itu diharapkan dapat menterjemahkan usaha-usaha kerajaan dalam penambahbaikan dari segi keselamatan siber negara.
Beliau juga ingin melihat lebih ramai tenaga mahir yang pakar dalam bidang teknologi, komputer dan informasi (ICT ) untuk tampil membantu kerajaan dalam usaha memerangi jenayah siber.
“Strategi ini adalah bersandarkan kepada lima tonggak utama iaitu pertama mempertingkatkan keberkesanan pengurusan tadbir urus dan keselamatan siber negara.
“Ini termasuk penambahbaikan infrastruktur ICT kritikal negara selain meningkatkan kemampuan negara untuk masalah keselamatan siber secara efektif.
“Dalam hal ini, satu Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara akan ditubuhkan dan saya telah melantik Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai pengerusi untuk menerajui jawatankuasa tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmia Strategi Keselamatan Siber di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Teks ucapan beliau dibaca oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, tonggak utama adalah memperkukuhkan penguatkuasaan jenayah siber dan perundangan yang ada dan kerajaan bersedia untuk meneliti semula undang-undang relevan dan khusus mengenai jenayah siber.
Jelas beliau, seterusnya strategi memperkasakan inovasi dan teknologi bertaraf dunia dalam bidang keselamatan siber serta mempergiat penyelidikan dan pembangunan oleh industri melalui kerjasama semua pihak dan kapasiti pembangunan tenaga tenaga mahir serta meningkatkan kesedaran berkaitan keselamatan siber.
“Strategi lain adalah dengan mempertingkatkan pembangunan kapasiti dan keupayaan tenaga mahir serta meningkatkan kesedaran berkaitan keselamatan siber yang bertujuan untuk memastikan ekosistem negara kekal selamat dan sesi libat urus dan kempen kesedaran akan terus dilaksanakan.
“Akhirnya, strategi memperkukuh kerjasama antarabangsa dan di peringkat serantau dan antarabangsa akan terus dipergiat bagi melindungi siber negara,” katanya.
Muhyiddin berkata, dengan bersandarkan lima tonggak utama itu, beliau menyeru semua pihak yang terlibat untuk menyokong usaha kerajaan dalam agenda keselamatan siber negara dapat dilaksanakan.
“Semua pihak perlulah bekerjasama dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) yang juga telah mengambil inisiatif untuk sesi libat urus bersama masyarakat setempat untuk meningkatkan kesedaran mereka mengenai keselamatan siber,” katanya. – MalaysiaGazette