Home Nasional Pemilik tanah boleh didenda RM500,000 jika pelaku gagal ditemui – JAS

Pemilik tanah boleh didenda RM500,000 jika pelaku gagal ditemui – JAS

Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar.

KUALA LUMPUR – Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak menolak untuk mendakwa pemilik tanah sekiranya mereka gagal menemui pihak yang melakukan pembakaran secara terbuka di Banting dekat sini semalam.

Pengarahnya, Nor Aziah Jaafar berkata, sebelum pertuduhan itu dibuat, pihaknya akan membuat carian pemilik tanah terbabit terlebih dahulu di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat.

“Untuk kes ni pembakaran terbuka, kertas siasatan kita sudah buka mengikut Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Akta ini memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM600,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Kalau tak jumpa pelaku, kita boleh tuduh pemilik tanah,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Semalam, JAS Selangor mengesan aktiviti pembakaran terbuka timbunan bahan disyaki sarung plastik wayar dan papan litar elektronik hancur di sebuah tempat pelupusan sampah haram di Banting.

Pihak JAS Selangor telah mengambil tiga sampel daripada tapak pelupusan sampah haram itu yang terletak berhampiran sebuah pasar raya besar untuk dianalisis Jabatan Kimia Malaysia.

JAS Selangor juga sedang mengesan pemilik tanah tapak pelupusan sampah haram berkenaan selain menjejaki kilang berdekatan yang menghasilkan bahan buangan seperti itu bagi melengkapkan kertas siasatan.

Dalam pada itu, Nor Aziah berkata kes itu masih dalam siasatan pihaknya termasuk mengesan pemilik tanah dan pelaku pembakaran terbuka sisa industri itu.

“Kami akan dapatkan carian tanah daripada Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat. Kita sudah tulis surat hari ini.

“Sebab itu nak kena cari cepat-cepat pemilik tanah supaya boleh kami keluarkan notis untuk buat kerja-kerja pembersihan segera,” katanya.

Ditanya tentang usaha JAS Selangor bagi mengelakkan pembakaran terbuka di lokasi sama, beliau berkata, pihaknya hanya boleh meletakkan pita kuning di tapak kejadian.

“Sebab tu kita pasang pita kuning di tapak itu untuk bagi isyarat kepada lori-lori kalau datang lagi (bakar sisa industri) bahawa tapak tersebut diawasi pihak berkuasa, ” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Sisa industri lupus secara haram di tapak projek perumahan PNB?