Home Ekonomi Langkah pemulihan ekonomi semakin positif – Tok Pa

Langkah pemulihan ekonomi semakin positif – Tok Pa

Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR- Jumlah individu yang hilang pekerjaan semakin menurun kepada 7,388 orang pada September berbanding kemuncak pada Jun lalu yang merekodkan seramai 17,579 orang.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ini membuktikan langkah kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara yang terjejas teruk melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN); Prihatin PKS Tambahan; Pelan Jana Semula Ekonomi (PENJANA) dan insentif tambahan Kita Prihatin telah mula membuahkan hasil.

“Ini berdasarkan tiga statistik iaitu Prestasi Perdagangan Borong dan Runcit; Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) serta Perangkaan Pembuatan Bulanan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini bagi bulan Ogos yang telah menunjukkan peningkatan.

“Seiring dengan peningkatan indikator-indikator ini, PERKESO juga turut melaporkan pengurangan dalam kes kehilangan pekerjaan (LOE) dan peningkatan dalam penempatan semula pekerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mustapa, kadar penempatan semula pekerja turut mencatatkan peningkatan kepada 43 peratus pada bulan September berbanding kadar terendah sebanyak enam peratus pada Jun.

“Perkembangan-perkembangan positif ini bermula pada Jun lalu apabila kerajaan membuka semula semua sektor ekonomi selepas ditutup pada 19 Mac lalu,” katanya lagi.-MalaysiaGazette