Home Nasional MB terkejut, PKPB seluruh Selangor tak selaras mesyuarat MKN

MB terkejut, PKPB seluruh Selangor tak selaras mesyuarat MKN

Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor melahirkan rasa terkejut dengan pengumuman kawasan baharu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) melibatkan seluruh kawasan negeri itu tanpa sebarang perbincangan dengan pihaknya.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia tidak selaras dengan hasil Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Selangor di mana hanya kawasan Klang, Gombak, Hulu Langat dan sebahagian Petaling sahaja mempunyai bilangan kes yang membimbangkan.

“Perlu dinyatakan di sini bahawa sehingga hari ini, secara konsensus kerajaan negeri melihat ada beberapa cadangan-cadangan tertentu yang boleh dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk dipertimbangkan.

“Kerajaan negeri berpandangan bahawa beberapa kawasan yang masih dikategorikan zon hijau dan kuning seperti Sabak Bernam dan Kuala Selangor adalah masih terkawal.

“Oleh itu, kerajaan negeri akan menghantar cadangan balas kepada pihak MKN dengan segera agar dapat diberi pertimbangan semula,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa PKPB di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan dikuatkuasakan bermula 14 hingga 27 Oktober 2020 dan sebarang pergerakan rentas daerah tidak dibenarkan.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Selangor juga menghargai komunikasi krisis yang lebih efektif dan konklusif antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan agar keputusan yang dibuat tidak merugikan rakyat.

“Sebarang ketetapan yang diambil tidak menghasilkan sebarang bentuk ketidaktentuan pelaksanaan yang akan memberi impak kepada petugas barisan hadapan, rakyat lebih-lebih lagi pengusaha industri kecil dan sederhana,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

PKPB di Sabah, Selangor, KL dan Putrajaya – Ismail Sabri