KUALA LUMPUR – Usahawan kosmetik kontroversi Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat bakal didakwa sekali lagi di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas tuduhan memiliki dan menjual produk kosmetik tidak berdaftar.
Sajat akan berdepan 17 pertuduhan membabitkan pemilikan produk kosmetik tidak berdaftar, lima kosmetik tidak bernotifikasi dan satu pertuduhan penjualan yang bukan keluaran berdaftar.
“Dia sebelum ini dikenakan waran tangkap oleh mahkamah sama pada Mac lalu selepas gagal hadir perbicaraan di mahkamah itu tanpa sebarang alasan kukuh.
“Bagaimanapun tindakannya menyerah diri selepas itu menyebabkan dia tidak ditahan. Sebaliknya kes dihadapinya akan disebut semula di mahkamah pada jam 9 pagi esok,” kata sumber memetik laporan Harian Metro.
“Difahamkan pihak Cawangan Penguatkuasa Farmasi (CPF) Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) KKM sebelum ini melakukan pemeriksaan di premis milik ahli perniagaan itu di Shah Alam, Selangor pada 15 Ogos tahun lalu, susulan maklumat penjualan produk memutihkan kulit tidak berdaftar,” katanya.
Beberapa pekerja premis termasuk Sajat selaku Pengarah syarikat diambil keterangan oleh CPF.
Tindakan tersebut dilakukan selepas pegawai CPF menyamar dan membeli produk dijual itu sebagai bahan bukti.
Hasil pemeriksaan dilakukan, pegawai CPF menemui produk yang disyaki bukan keluaran berdaftar dengan KKM sebelum tindakan rampasan dilakukan.
Semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati syarikat diperiksa itu berdaftar dan semua produk dirampas adalah milik Sajat untuk tujuan jualan.
“Berdasar keterangan diambil, syarikat itu jelas melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan melakukan kesalahan mengikut
Peraturan 30(1) peraturan sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(2) Akta Jualan Dadah 1952.
“Sajat akan turut didakwa mengikut Peraturan 18(A),Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan melakukan kesalahan mengikut Peraturan 18A(15) peraturan yang sama,” katanya.
Sajat sebelum ini pernah dihadapkan di mahkamah sama pada 14 Disember 2018 atas pertuduhan mengikut Seksyen 41 (6) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014.
Malah Sajat pernah didakwa kerana memiliki 19 produk kecantikan tidak berdaftar dengan KKM di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 12 Mei 2019.
Ia susulan tindakan KKM melakukan pemeriksaan di sebuah premis di Bandar Baru Uda, Johor, sebelum merampas 19 produk kecantikan tidak berdaftar bernilai hampir RM10,000. – MalaysiaGazette