PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi diadakan pada 5 Disember depan.
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, hari penamaan calon ditetapkan pada 23 November manakala hari untuk mengundi awal adalah pada 1 November.
Beliau berkata, SPR menerima pemakluman berhubung kekosongan luar jangka kerusi Parlimen itu pada 2 Oktober lepas, yang mana ia perlu diisi dalam tempoh 60 hari selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan.
“Tempoh berkempen adalah 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding sehingga pukul 11.59 malam, 4 Disember 2020.
“Bagi proses Pilihan Raya Kecil ini, Timbalan Presiden I, Majlis Perbandaran Sandakan, Faridah Giau dilantik sebagai Pegawai Pengurus PRK dengan dibantu lima orang Penolong Pegawai Pengurus,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Abdul Ghani berkata, SPR bersetuju menubuhkan dua pasukan penguatkuadsa kemopen pilihan raya (PP-KPR) bagi memantau semua aktiviti sepanjang kempen pilihan raya tersebut.
Katanya, Auditorium Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Sabah, di Sandakan akan dijadikan pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan undi.
Manakala, Dewan Jati Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Sabah pula akan dijadikan pusat pengiraan undi awal dan juga pusat pengiraan undi pos.
Dalam pada itu, Abdul Ghani memberitahu, pihaknya mencadangkan penambahbaikan garis panduan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang berkuatkuasa ketika ini.
Antara penambahbaikan itu adalah calon atau parti hanya dibenarkan membuka satu bilik gerakan utama sahaja manakala bilik gerakan kecil atau tempat perkumpulan lain bagi calon atau parti tidak dibenarkan.
“Penganjuran sebarang bentuk ceramah arau syarahan bagi tujuan berkempen oleh mana-mana pihak atau parti politik sepanjang tempoh berkempen adalah tidak dibenarkan,” tegas beliau. – MalaysiaGazette